Site icon Sabah Baru News

Kejayaan Kerajaan GRS-PH Plus bukan sekadar bercakap: Arthur

Arthur berkata, pembangkang harus sedar bahawa cara Kerajaan GRS-PH Plus menangani harga elektrik yang sesuai dikenakan kepada penguna di Sabah ialah melalui kaedah mengambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik di Sabah seperti tiga RUU yang telah berjaya diluluskan di DUN Sabah kelmarin.

KOTA KINABALU: Kejayaan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Pakatan Harapan (GRS-PH) Plus mengambil alih kawal selia bekalan elektrik dan tenaga baharu di Sabah bermula kelmarin bukti kerajaan sedia ada bukan hanya sekadar bercakap tetapi berusaha menunaikannya, kata Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Arthur Sen.


Tambahnya, ini berbeza dengan kerajaan Parti Warisan (Warisan) selama 26 bulan sebelum ini yang hanya tahu bercakap banyak tetapi gagal mengotakannya, termasuk pengambilalihan kuasa kawal selia bekalan elektrik di Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Arthur mengulas tentang Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin yang meluluskan tiga Rang Undang-Undang (RUU) iaitu RUU Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024; RUU Tenaga Boleh Diperbaharui Sabah 2024; dan RUU Bekalan Elektrik 2024.

Ketiga-tiga RUU ini bertujuan untuk membolehkan Kerajaan Sabah mengambil alih semula kuasa kawal selia bekalan elektrik di Sabah selaras dengan MA63. Sebelum ini, kuasa tersebut adalah dibawah Kerajaan Persekutuan. 

Semasa sesi perbahasan, ramai Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengambil bahagian telah memberikan input positif kecuali dua ADUN dari Parti Warisan.


“Terdahulu, ADUN Tanjung Aru, Datuk Junz Wong telah membuat pelbagai tuduhan negatif terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SESB. Ketua Menteri Sabah semasa menjawab perkara-perkara yang dibangkitkan oleh ADUN-ADUN menyatakan bahawa adalah tidak adil menuduh CEO SESB dengan pelbagai tuduhan negatif kerana CEO SESB tidak dapat membela dirinya ke atas semua pertuduhan Junz di DUN Sabah,” kata Arthur dalam kenyataan hari ini.


“CEO SESB bukanlah ADUN Sabah atau boleh diwakili oleh mana-mana Kementerian dalam negeri Sabah kerana SESB adalah syarikat milik Tenaga Nasional Berhad (GLC Persekutuan).


“Selepas itu, ADUN Sri Tanjong Justin Wong (Warisan) agak keterlaluan menuduh Kerajaan GRS-PH Plus gagal memerintah Sabah hanya kerana alasan bahawa Kerajaan Sabah tidak membantah kenaikan tariff elektrik.


“ADUN Sri Tanjung Warisan gagal memahami bahawa kenaikan tarif hanya untuk penguna yang menggunakan elektrik melebihi 1500 unit KWj @ RM700 harga semasa. Bagi yang menggunakan lebih daripada 1500 Unit KWj @ RM700 barulah dikenakan surcaj sebanyak 7.2 sen seunit,” katanya.

Arthur yang juga merupakan Pegawai Khas kepada Ketua Menteri berkata, pembangkang harus sedar bahawa cara Kerajaan GRS-PH Plus menangani harga elektrik yang sesuai dikenakan kepada penguna di Sabah ialah melalui kaedah mengambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik di Sabah seperti tiga RUU yang telah berjaya diluluskan di DUN Sabah kelmarin.


“Dengan cara ini tidak perlu lagi kita menyalak membantah yang entah dipedulikan atau tidak. Kalau kita berkuasa maka kita boleh kawalselia tanpa perlu membantah.Cara ini lebih baik daripada kaedah disarankan oleh Warisan melalui ADUN Seri Tanjung iaitu mengunakan kaedah membantah.


“Mengambil kira perbandingan dua kaedah ini, jadi siapa sebenarnya gagal? Kerajaan Warisan perintah Sabah 26 bulan tapi tidak ambil alih kuasa elektrik. Kini ADUN mereka mendesak untuk mengunakan kaedah membantah pula. Memang tiada potongan jadi YB lah ADUN Sri Tanjong.


“Kesimpulannya, Kerajaan GRS-PH Plus berjaya mengambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik serta tenaga boleh baharu di Sabah seperti dalam MA63. Kerajaan GRS-PH Plus bukan sekadar bercakap tapi berusaha menunaikannya seperti yang dibuktikan kelmarin,” katanya.

— TAMAT

Exit mobile version