Site icon Sabah Baru News

Peruntukan RM2 juta untuk atasi masalah air di UMS: Zambry

Semasa lawatan kerja beliau ke Sabah Zambry turut menghadiri sesi taklimat di Bangunan Canselori berkenaan UMS yang disampaikan oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Dr Kasim Md Mansur perihal kampus UMS termasuklah segala perkara berbangkit yang memerlukan penyelesaian di peringkat kementerian.

KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk menyelesaikan isu bekalan air yang sudah berlarutan sejak sekian lama di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Beliau berkata peruntukan berkenaan adalah untuk penyelasaian jangka pendek dan panjang agar masalah bekalan air di universiti itu boleh diatasi dalam kadar yang segera.

Katanya selepas mendengar taklimat daripada Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor mengenai pembangunan dan masalah berkaitan bekalan air, pihaknya bersetuju meluluskan RM1 juta bagi menyelesaikan isu berkenaan, di samping tambahan RM1 juta lagi untuk langkah jangka pendek menanganinya.

“Masalah air ini perlu dipandang serius, apabila sampai di UMS perkara pertama yang saya dengar adalah masalah air. Tadi pagi saya sempat bersarapan dengan Majlis Perwakilan Pelajar dan masalah air menjadi isu utama yang mereka kemukakan kepada saya.

“Kita tidak mahu pelajar terbeban dengan masalah ini terlalu lama,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama pelajar UMS yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata peruntukan RM2 juta itu adalah tambahan kepada peruntukan RM3 juta yang diumumkan Perdana Menteri semasa majlis beramah mesra dengan pelajar UMS tahun lepas.

“Ada pelajar yang bertanya mengenai peruntukan RM3 juta berkenaan dan saya difahamkan peruntukan itu sudah pun digunakan, namun ada masalah lain timbul iaitu paip ada, tetapi tekanan air rendah menyebabkan masalah air di kawasan yang tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata tambahan peruntukan dibuat bagi menyelasaikan masalah berkenaan termasuk memasang pam air, selain menggunakan tenaga pakar di UMS ini untuk mencari inisiatif mencari sumber air untuk penyelesaian jangka panjang.

— BERNAMA.

Exit mobile version