Site icon Sabah Baru News

Krisis bekalan air di UMS dijangka selesai sebelum akhir bulan ini

Sementara itu, Shahelmey turut menjelaskan, peruntukan RM3 juta untuk menangani masalah air di UMS yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun lalu diberikan terus kepada universiti berkenaan. (BERNAMA)

Kota Kinabalu : Isu bekalan air yang dialami warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) dijangka akan selesai apabila kerja paip utama bagi menyalurkan air tambahan dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 2 di Tuaran siap sebelum akhir bulan ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pihaknya telah mengarahkan kontraktor untuk segera menyiapkan kerja berkenaan dan ianya dijangka dapat meredakan isu kekurangan bekalan air di UMS dan sekitarnya.

“Isu ini (kekurangan bekalan air) sepatutnya sudah selesai dengan penyiapan projek LRA T2P2 yang dimula operasi sejak awal Disember lalu.  Bagaimanapun, ada beberapa kerja paip utama perlu diselesaikan bagi membolehkan air terawat tambahan dari LRA T2P2 disalur ke rangkaian paip pengagihan.

“Semua usaha sedang dilaksanakan bagi memastikan kerja paip utama itu selesai sebelum akhir Januari, sekali gus meredakan isu air yang sedang dihadapi ketika ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas masalah isu bekalan air yang dihadapi pelajar UMS hingga menyebabkan ada pelajar tidak mandi berhari-hari.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, penyaluran bekalan air turut berdepan isu kecurian air melalui penyambungan haram dan vandalism terhadap sistem dan rangkaian paip Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan rekod JANS pada bulan lalu, UMS hanya menerima bekalan 2.7 MLD berbanding keperluan kampus berkenaan yang dianggarkan 2.98 MLD.

“Bagaimanapun, JANS turut melaksanakan penghantaran air menggunakan lori tangki ke UMS bagi menampung kekurangan bekalan air yang sampai ke kampus UMS,” katanya.

Sementara itu, Shahelmey berkata, peruntukan RM3 juta untuk menangani masalah air di UMS yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun lalu diberikan terus kepada universiti berkenaan.

— TAMAT

Exit mobile version