Site icon Sabah Baru News

Nak jadi Perdana Menteri tunggu Pilihan Raya

Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam kenyataan pada Rabu berkata GRS tidak akan mengambil bahagian dalam mana-mana langkah untuk menumbangkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

MENGULAS “Langkah Dubai” yang trending ketika ini, Ketua Mentei Sabah Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata MALAYSIA adalah negara demokrasi, mereka yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri perlu menunggu Pilihan Raya Umum untuk melihat sama ada rakyat menerima mereka.

Menumbangkan kerajaan di pertengahan penggal memberi kesan pada kemajuan dan pembangunan negara serta membela rakyat.

Kerana matlamat kerajaan untuk memajukan dan membela rakyat serta membangunkan negara, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) salah satu parti menyokong Kerajaan Perpaduan memberi jaminan tidak akan terlibat dengan sebarang langkah seperti Langkah Dubai.

Jika ada pihak-pihak yang menghubungkaitkan GRS pada sebarang langkah, ianya hanya merupakan fantasi atau plot yang direka oleh pihak-pihak tertentu untuk tujuan tertentu.

GRS apabila membuat ketetapan menyokong keputusan Yang DiPertuan Agong semasa pemilihan PMX pada November 2022, adalah keputusan muktamad. Justeru itu, sebarang usaha mengaitkan gabungan itu dengan sebarang langkah menjatuhkan kerajaan di luar pilihan raya adalah perbuatan sia-sia.

Tidak terfikir kah oleh mereka yang melakar plot menjatuhkan kerajaan dan mengaitkan GRS yang daripada awal-awal lagi telah membuat ketetapan menginginkan kerajaan yang stabil dan kukuh, kerana keadaan demikian menjadi pemudahcara bagi negeri Sabah mengatur berbagai strategi, merancang, melaksanakan aktiviti-aktiviti ekonomi, pembangunan yang sememangnya sangat mustahak bagi negeri dan rakyat.

Lagipun, Sabah yang diterajui GRS sedang rancak merealisasikan Hala Tuju yang digariskan menerusi Sabah Maju Jaya menjelang tahun 2025, kerana ianya menjadi penanda aras pencapaian untuk mendapatkan mandat baharu daripada rakyat Sabah pada PRN17, yang bakal dilaksanakan pada suku ke-4 tahun yang sama.

Kepada mereka yang merekayasa berbagai plot, untuk maksud politik, kena berfikir masak-masak, mengaitkan parti seperti GRS yang berpendirian tetap, selain bukan parti yang kemaruk kuasa, kerana jelas sokongan parti itu terhadap kerajaan Persekutuan demi kestabilan politik dan kerajaan yang kukuh.

Terbukti selepas lebih setahun kerajaan Perpaduan bukan sahaja kukuh dan kuat tetapi stabil. Dalam keadaan demikian, adalah buang masa bagi mereka yang melakar berbagai plot menjatuhkan kerajaan, kecuali mereka itu mempunyai niat tersirat, mendeskreditkan parti-parti Blok Borneo, kerana tanpa lampu hijau daripada parti-parti itu sebarang langkah menjatuhkan kerajaan tidak akan berjaya.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Sabah Baru News

Exit mobile version