Site icon Sabah Baru News

Politik : Sejarah dan iktibar masa depan- Dr Yusof Yacob

YB Datuk Dr Yusof Yacob merupakan ADUN Sindumin daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Beliau juga merupakan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah Sindumin.

Saya ingin mengambil kesempatan berkongsi pandangan sempena awal tahun baru 2024.

Ini penting untuk kita mulakan momentum dan persediaan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang yang mahu tidak mahu pasti akan tiba pada pertengahan atau penghujung 2025. Mulai dari sekarang kita masih ada masa maksimum sekitar 20 bulan lagi.

Bukan niat mahu mengajar, tetapi sekadar berkongsi pengalaman dan pemikiran. Saya mulakan dengan pertanyaan .

Apa itu politik?
Politik berasal dari perkataan Latin iaitu POLIS yang bermakna KOTA atau NEGERI. Kemudian timbul perkataan POLITIKA yang berasal dari tamadun Greece iaitu POLITIKA yang bermakna PENTADBIR KOTA atau NEGERI .

Dalam istilah moden , Politik adalah Kerajaan atau Pentadbir Kota( Bandar) , Negeri atau Negara. Ahli Politik adalah orang yang mentadbir atau kita semua yang mentadbir negeri dari kuasa politik.

Ada beberapa modifikasi zaman ini samada politik kuasa mutlak Raja, Komunis, Sosialis, Komunis atau kombinasi semua ini.

Apa tujuan kita berpolitik?
Dunia hari ini berpolitik selalunya melalui parti parti politik kecuali negara dengan sistem Beraja yang berkuasa mutlak.

Komunis pun ada parti politik iaitu sistem satu parti politik seperti di Negara China.

Dalam sistem demokrasi pula seperti yang diamalkan di Malaysia dan negara negara yang mengamalkan sistem demokrasi, berpolitik adalah untuk mendapatkan mandat KUASA untuk mentadbir negeri atau negara dari rakyat melalui pilihanraya atau proses pengundian.

Setelah mendapat mandat kuasa mentadbir , maka dasar , agenda atau cara mentadbir terserah kepada ahli politik berkuasa yang menentukan corak pentadbiran samada mahu disukai atau dibenci oleh rakyat . Kalau penilaian rakyat baik , maka bolehlah bertahan lama kerajaan tersebut atau diteruskan untuk penggal kedua, ketiga dan seterusnya . Kalau tidak baik, rakyat akan tukar selepas satu penggal atau pada bila bila masa rakyat sudah tidak suka.

Untuk kita belajar, kita boleh buat analisa keadaan di negeri dan negara kita, atau negara negara lain.

a) BN- UMNO sebagai tulang belakang pemerintah Malaysia berkuasa 61 tahun atau 13 kali PRU, tapi jatuh pada PRU14.
Kenapa? Kita semua tahu sebabnya. Rasuah sudah menjadi budaya di dalam UMNO, pemimpin pemimpinnya ego dan sombong dan pemimpin pemimpinnya bercakaran atara satu dengan yang lain untuk merebut kuasa.

b) Warisan- Parti Warisan memerintah cuma 26 bulan. Warisan jatuh kerana dasar dan pemimpin yang mentadbir lari dari perjuangan asal, tidak pandai menjaga ADUN ADUN dan tidak pandai menghargai pejuang parti yang bergolok gadai berjuang bersama Warisan.

c) PAP di Singapura boleh bertahan lama kerana cara kepimpinan, agenda negara yang jelas , memilih pemimpin terbaik, bersih dan berkelayakan , bebas korupsi serta sistem penyampaian yang cekap dan efisyen.

d) Pakatan Harapan di Selangor dan Pulau Pinang boleh bertahan kerana cara kepimpinan serta mempunyai program untuk rakyat yang baik.

e) GPS di Sarawak akan bertahan lama . Cara GPS mentadbir negeri, memupuk sikap patriotisme kenegerian dan kemampuan mengurus ekonomi negeri dengan baik, elak ketirisan dan berbagai program yang baik untuk rakyat.

Kalau GRS mahu bertahan lama , kita perlu bersama sama menjiwai Agenda Sabah Maju Jaya dan bekerja keras mencapainya.

Untuk maju ke hadapan, kita perlu bijak dan belajar dari kesilapan orang lain. Jangan ulangi kesilapan kesilapan yang dibuat oleh UMNO BN dan Warisan.

*YB Datuk Dr Yusof Yacob merupakan ADUN Sindumin daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Beliau juga merupakan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah Sindumin.
** Artikel ini adalah berdasarkan penulisan beliau.

Exit mobile version