Site icon Sabah Baru News

ASEAN perlu manfaatkan geo-ekonomi, lonjakkan perdagangan, pelaburan serantau – Tengku Zafrul

TENGKU ZAFRUL: Agenda kami akan jelas dan penuh tekad, dan juga mendapatkan sokongan daripada negara penting Asia seperti China, Jepun dan Korea Selatan untuk kemajuan rantau ini. – Gambar fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia, Singapura dan negara ASEAN lain sewajarnya bekerjasama lebih erat bagi menarik pelaburan yang tepat untuk keseluruhan rantau itu mempertingkatkan perdagangan intra-ASEAN di samping membariskan kepimpinan ekonomi yang kukuh, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata Malaysia mula menyusun strategi untuk peranan sebagai pengerusi ASEAN pada 2025 dan dalam masa sama menyokong Laos yang melaksanakan tanggungjawab pengerusi bagi 2024.

“Agenda kami akan jelas dan penuh tekad, dan juga mendapatkan sokongan daripada negara penting Asia seperti China, Jepun dan Korea Selatan untuk kemajuan rantau ini.

“Pada masa sama, perlu diakui bahawa kestabilan adalah aspek melibatkan kewajipan bersama. Kami telah melaksanakan banyak perkara dan akan melakukan lebih banyak lagi dalam membina semula kebolehpercayaan terhadap Malaysia, dari segi politik dan ekonomi,” katanya semasa berucap pada sesi S Rajaratnam Endowment Dialogue di Singapura pada Khamis.

Tengku Zafrul turut memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia komited untuk bekerjasama dengan rakan sejawat di Singapura bagi memastikan pelbagai usaha dua hala direalisasikan selain memperkukuh jalinan perniagaan-kepada-perniagaan dan rakyat-kepada-rakyat secara amnya.

“Akan ada, sudah pasti, banyak peluang untuk kerjasama antara Malaysia dan Singapura.

“Satu-satunya hal yang membataskan adalah imaginasi dan ketersediaan kita untuk bekerjasama,” katanya.

Beliau berkata semua hubungan dua hala dan pelbagai hala, termasuk dengan Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand dan negara ASEAN lain memerlukan tumpuan dan usaha. — BERNAMA

AWANI

Exit mobile version