Site icon Sabah Baru News

Komitmen GRS kekal, Hajiji konsisten sokong PM

Hajiji mengulangi bahawa GRS menyokong penuh kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri dan yakin keupayaannya untuk membangunkan Malaysia.

ENTAH dari mana datangnya angin, pokok di laman tiba-tiba bergoyangan. Orang percaya, kalau tiada angin tapi pokok terus bergoyang, mungkin ada monyet sedang berasmara di celah daun tempat mereka berlindung.

Demikianlah yang berlaku di panggung politik nasional mutakhir ini. Tanpa sedar, riuh seketika orang bercakap mengenai apa yang disebut sebagai `Langkah Dubai’. Kecoh dan gempar tiba-tiba. 

Spekulasi menjalar berhari-hari, fantasi melatari cerita-cerita indah. Skripnya tersusun rapi, bagaikan sinetron.

Ribut politik terus bertiup. Tidak hanya di tanah Semenanjung, tapi tempias keributan turut memanas ke Sabah dan Sarawak di seberang Laut China Selatan. 

Apa tidaknya, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dikaitkan dengan apa yang dikatakan sebagai `Langkah Dubai’ untuk `menebuk atap’ kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, segalanya terlerai sudah. Kedua-dua kerajaan GRS dan GPS lantang menyangkal spekulasi itu, sambil menegaskan komitmen kekal bersama Kerajaan Perpaduan.

Malah, Sabah dan Sarawak mempertikai motif serta muslihat di sebalik gerakan politik itu.

Bagi kedua-dua negeri di Pulau Borneo ini, Kerajaan Persekutuan sedia ada cukup kukuh dan stabil, justeru perlu dipertahan bagi kemakmuran bersama.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menegaskan pihaknya tidak akan terlibat dengan sebarang ‘Langkah’ untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan sekarang.

Baginya, tindakan sedemikian hanya akan membawa kepada kekacauan dan menjejaskan kestabilan negara.

“Kita mempunyai kerajaan Persekutuan yang berfungsi dan mempunyai hubungan baik dengan kerajaan negeri, jadi kenapa perlu menggoyahkan kerajaan,” katanya.

Pendirian kerajaan GRS itu konsisten dengan komitmen yang dinyatakan Hajiji kepada kepimpinan Anwar ketika pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Baginya, ia penting bukan saja untuk kestabilan politik, tapi demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat terbanyak.

Hajiji mengulangi bahawa GRS menyokong penuh kepimpinan  Anwar sebagai Perdana Menteri dan yakin keupayaannya untuk membangunkan Malaysia.

“Biarkan beliau memimpin negara kita yang berbilang kaum menuju kemakmuran,” demikian penegasan Hajiji, sekali gus menamatkan sebarang andaian yang mungkin dijaja oleh agas-agas politik yang ada agenda tersurat.

Sementara Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut menepis spekulasi Langkah Dubai, malah menyifatkannya sebagai tindakan `paloi’ (bodoh) tatkala namanya disebut kononnya sebagai bakal perdana menteri.

Baginya, jika benar dakwaan berlakunya Langkah Dubai itu, ia hanya membuang masa dan menjadikan politik negara kelam kabut semula.

Komitmen beliau itu senada dengan pendirian Hajiji.

Abang Jo menegaskan bahawa langkah GPS menyokong Kerajaan Persekutuan sekarang berjaya menstabilkan politik negara dan dengan berkat kestabilan itu, Sarawak kini meraih hasilnya apabila ekonomi semakin kukuh.

“Sebab itu GPS mengutamakan kestabilan Kerajaan Malaysia kerana kita perlu bersaing dengan negara jiran yang lain (dalam mengukuhkan ekonomi).

“Kalau (politik) Malaysia kelam kabut, siapa yang hendak membawa duit (melabur) di negara kita dan jika tiada pelaburan, peluang pekerjaan (untuk rakyat) juga kurang,” demikian ketegasan beliau.

Sebenarnya, pendirian GRS dan GPS itu awal-awal lagi sudah diakui oleh Anwar di mana beliau diberi jaminan oleh kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak.

Ketika majlis dialog bersama Ketua-ketua Pengarang di Putrajaya menjelang Krismas lepas, Perdana Menteri menyatakan bahawa Sabah dan Sarawak secara tegas menolak sebarang percubaan menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Menurut Anwar, dengan komitmen kedua-dua negeri itu, bermakna naratif politik mengenai dukungan Sabah dan Sarawak terhadap percubaan `tebuk atap’ itu terbatal dengan dengan sendirinya.

“Selepas setahun, kerajaan adalah stabil dan kerjasama antara parti-parti Pakatan Harapan, Barisan Nasional, GPS dan GRS lebih kukuh,” katanya.

Persoalannya, dengan kenyataan terbuka GRS dan GPS itu, apakah akan berakhir episod politik terbaru ini? Hanya masa dan keadaan menentukan. 

Yang pasti, para sutradara politik berhaluan kiri tidak akan berhenti daripada membawakan sandiwara mereka untuk dipentaskan dalam safari politiknya sehingga tiba musim pilihan raya.

Lichong Angkui ialah seorang wartawan veteran Sabah.Beliau juga merupakan Ketua Pengarang Utusan Borneo.
Exit mobile version