Site icon Sabah Baru News

UMS jelas bagaimana peruntukan RM3 juta untuk bekalan air diguna

Naib Canselor Kasim Mansor berkata, 1 daripada 6 telaga dan sistem paip sudah beroperasi manakala selebihnya akan siap menjelang Mac.

PETALING JAYA: Peruntukan RM3 juta untuk menyelesaikan masalah bekalan air Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah digunakan untuk membina enam telaga tiub dan memasang enam sistem paip.

Naib Canselor Kasim Mansor berkata, satu telaga tiub dan satu sistem paip sudah digunakan, menghasilkan 150,000 liter air sehari.

Institut pengajian tinggi itu memerlukan lima juta liter air sehari.

Kasim berkata, baki telaga dan sistem paip akan beroperasi menjelang Mac.

“Telaga-telaga tiub dan sistem paip ini bertujuan membekalkan air kepada pelajar yang tinggal di (asrama) universiti,” katanya, lapor The Daily Express.

Pada Selasa, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempersoalkan bagaimana dana yang diperuntukkan kepada UMS dibelanjakan, meminta laporan terperinci mengenai isu bekalan air di universiti itu.

Anwar berkata, beliau mendapat tahu daripada media sosial bahawa Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir didatangi pelajar universiti itu yang mengadu tentang bekalan air yang tidak mencukupi.

Kasim berkata, RM3 juta itu diuruskan oleh Unit Pelaksanaan Penyelarasan (ICU) bawah Jabatan Perdana Menteri, bukannya UMS.

“Kami harap orang ramai tidak membuat spekulasi tentang bagaimana (peruntukan) RM3 juta itu digunakan.

“Saya jamin, wang itu bukannya hilang atau digunakan secara tidak wajar,” katanya.

— TAMAT

Exit mobile version