Site icon Sabah Baru News

JKKK diminta mainkan peranan bantu kerajaan

TANDA NAMA: Nizam (dua kiri) menyampaikan tanda nama kepada salah seorang JKKK yang dilantik.

TAWAU: Semua pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diminta supaya menjalankan peranan sebagai pengantara antara kerajaan dengan rakyat akar umbi di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, JKKK yang dilantik diingatkan menjalankan tanggungjawab dengan baik dan mengikut senarai tugas yang ditetapkan.

Katanya, semua masalah penduduk kampung perlu diselesaikan dengan segera sama ada ia melalui wakil rakyat ataupun jabatan-jabatan kerajaan di daerah ini.

“Kita tidak mahu ada penduduk kampung tercicir mendapat kemudahan dan program yang telah disediakan oleh kerajaan untuk rakyat di akar umbi.

“Pengerusi JKKK juga wajib membantu menyampaikan setiap agenda dan perancangan yang kerajaan sediakan kepada seluruh rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata demikian dalam majlis Makan Tengah Hari bersama 18 Pengerusi JKKK Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, di sini kelmarin.

Menurutnya, pengerusi JKKK juga dinasihatkan menjalinkan hubungan baik dengan jabatan kerajaan supaya mudah melaporkan setiap permasalahan yang dihadapai penduduk.

Selain itu, katanya, pengerusi JKKK turut diminta bekerjasama dengan Ketua Kampung, pemimpin masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) supaya kampung sentiasa berada dalam keadaan sejahtera.

“Sekiranya semua tanggungjawab itu dilaksanakan dengan baik, maka segala agenda yang dibawa kerajaan negeri dan persekutuan mudah disampaikan kepada rakyat akar umbi,” katanya.

SUMBANGAN: Nizam menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada golongan asnaf.

Sementara itu, Nizam menzahirkan syabas dan tahniah kepada semua JKKK yang dilantik atas inisiatif meletakkan tanda nama mereka di kampung bagi memudahkan penduduk membuat rujukan.

“Saya melihat tanda nama itu juga tertera nama dan nombor telefon JKKK yang boleh dihubungi penduduk sekiranya ada masalah mereka.

“Justeru, saya optimis inisiatif itu merupakan idea yang sangat baik dan ia menandakan JKKK DUN Apas komited dengan tanggungjawab mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nizam meminta supaya semua masyarakat di daerah ini menyokong segala usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

“Banyak kejayaan yang telah dicapai oleh kerajaan negeri ketika ini, malah program-program bantuan untuk rakyat juga bertambah dari semasa ke semasa.

“Saya berharap masyarakat di daerah ini tidak terpengaruh dengan fitnah dan kenyataan memburukkan kerajaan negeri yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Turut hadir, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Apas, M Azriansyah Ali dan Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Tawau, Said Hassan Said Idrus.  

— Hamzah Sanudin

Exit mobile version