Pengerusi Neurogine, Chen Chee Peng berkata, keputusan itu dicapai susulan Mesyuarat Tahunan Lembaga Penasihat 2024 yang diadakan buat kali pertama di Labuan. – Gambar Bernama
LABUAN: Penyedia transformasi digital, teknologi dan perkhidmatan di Asia Tenggara, Neurogine Group of Companies telah bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk menubuhkan makmal teknologi di Labuan.
Inisiatif berkenaan dikenali sebagai “Pusat Kecemerlangan Asia UMS untuk Rantaian Blockchain” (UMS ACoE), ditubuhkan bagi mewujudkan kluster inovasi tertumpu pada teknologi blockchain (lejer digital terbuka) khususnya dalam aplikasi kewangan dan platform menangani keselamatan makanan, kata kumpulan itu dalam satu kenyataan kepada Bernama pada Isnin.
Ia berkata usaha bersama itu akan melibatkan kumpulan bakat (pekerja berkemahiran) dari Sabah, Sarawak, Brunei, Indonesia dan Asia Timur sekali gus menempatkan UMS ACoE sebagai hab inovasi kewangan blockchain.
Pengerusi Neurogine, Chen Chee Peng berkata, keputusan itu dicapai susulan Mesyuarat Tahunan Lembaga Penasihat 2024 yang diadakan buat kali pertama di Labuan.
Beliau berkata, ahli lembaga itu telah melawat Kampus Antarabangsa Labuan (LIC) UMS sebelum ini dan meninjau lokasi berpotensi dan memilih dua lokasi kerana kerana saiz dan sumbernya.
Chen berkata, jumlah bakat ketika ini dalam teknologi blockchain adalah rendah walaupun kepentingannya semakin meningkat, menekankan peranan pusat itu dalam menarik dan membangunkan bakat.
“UMS ACoE yang dicadangkan akan mencari bakat yang sesuai dan menyediakan platform khusus untuk mereka mempamerkan dan menunjukkan aplikasi dan penyelesaian kewangan blockchain mereka.
“Kami mencadangkan kerjasama rapat dengan dua fakulti di UMS LIC iaitu Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan dan Fakulti Pengkomputeran dan Informatik kerana kedua-duanya berada pada kedudukan tepat untuk membangunkan bakat dalam bidang ini yang menggabungkan teknologi dan kewangan,” katanya.
Selain itu, Chen menjangkakan pusat itu memainkan peranan penting dalam mata wang digital bank pusat di seluruh Asia dengan menekankan permintaan untuk bakat dalam landskap yang berkembang ini.
Sehubungan itu, inisiatif itu bukan sahaja akan mencipta peluang pekerjaan tetapi juga menarik pelaburan asing ke Labuan yang berpotensi mengubah aspek perdagangan dan sosial di rantau ini, katanya.
Selain itu, beliau berkata, syarikat itu menyasarkan untuk memupuk bakat belia melalui pusat itu, memperkasakan agenda pendigitalan untuk memberi manfaat kepada komuniti Labuan terutamanya dengan penempatan semula ibu kota Indonesia kelak.
Chen meluahkan keyakinan bahawa kerjasama dengan UMS akan menghasilkan pertumbuhan ekonomi, teknologi dan sosial yang positif di Labuan. – BERNAMA
— AWANI