Site icon Sabah Baru News

Fitnah anak Ketua Menteri yang melampau

Rentetan daripada itu, anak Ketua Menteri telah tampil membuat laporan Polis agar siasatan terperinci dilaksanakan dan membawa pihak terbabit ke muka pengadilan.

PIHAK yang gagal mencari kelemahan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor memilih membuat fitnah jijik terhadap anak sulung Ketua Menteri itu dengan dakwaan terlibat kartel dadah yang ditumpaskan PDRM hujung tahun lalu yang didalangi seorang individu yang mempunyai hubungan rapat dengan pimimpin Parti Warisan.

Tuduhan jijik itu bertujuan mengaibkan Ketua Menteri dan keluarga beliau. Tidak berhenti di situ, ianya juga memalitkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti yang diketuai Ketua Menteri itu Gagasan Rakyat.

Walaupun hanya mereka dalam parti pembangkang bersetuju dengan perbuatan jijik itu, akan tetapi perbuatan itu tidak wajar dibiarkan dan wajib dituntaskan oleh pihak berkuasa dengan menangkap dan membawa pelaku ke muka pengadilan.

Dakwaan itu bukan sahaja jijik, mengaibkan, akan tetapi tidak wajar terhadap seseorang yang tidak berdosa, seseorang yang tidak patut dilibatkan atau dikambinghitamkan.

Rakyat yang mengenali Ketua Menteri dan keluarga, bukan sahaja terkejut dengan dakwaan karut itu akan tetapi turut bersedih, kerana ada manusia yang sanggup membuat dakwaan fitnah. Fitnah itu lebih kejam daripada membunuh.

Dalam perkembangan lain, Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) Datuk Haji Nizam DSP Abu Bakar Titingan dalam satu kenyataan mendesak pihak berwajib mengenalpasti dalang fitnah tersebut, menangkap dan menghadapkan ke mahkamah.

Menurut Nizam perbuatan jijik itu bukan sahaja cubaan mengaibkan Ketua Menteri dan keluarga akan tetapi juga bertujuan memalitkan imej buruk pada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Gagasan Rakyat yang beliau pimpin.

Kegagalan pihak pemimpin dan penyokong parti yang membangkang kerajaan negeri mencari kelemahan Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor baik sebagai Ketua Menteri, Ketua Kerajaan, Pengerusi/Presiden dan Ketua Keluarga, selain kelemahan pemerintahan dan pentadiran menjadi punca menggunakan pembunuhan karakter untuk tujuan politik.

Menjelang PRN17 Sabah pihak pembangkang bukan sahaja ketandusan isu akan tetapi buntu mempengaruhi rakyat untuk menyokong mereka.

Pihak pembangkang tidak menyedari semakin kuat mereka menabur fitnah dan pembohongan termasuk mengada-adakan dakwaan kotor, ianya hanya mengali kubur sendiri dan masuk ke dalamnya untuk dikuburkan.

Menghalalkan cara untuk mendapatkan kuasa dalam era sekarang bukan lagi satu faktor yang boleh digunakan memandangkan ketangkasan maklumat salah, fitnah, pembohongan akan cepat dirungkai dengan cepat.

Dalam isu dakwaan karut terhadap anak sulung Ketua Menteri, rakyat secara umumnya melihat betapa jahatnya dan kotornya pemimpin dan penyokong parti pembangkang.

Di dalam negara ini, sesiapa yang melakukan aktiviti menyalahi undang-undang tidak akan terlepas seperti mana tumpasnya kartel dadah Sabah yang dipantau sejak tahun 2015.
Jangan kerana sumber kewangan terputus, maka memilih memfitnah sebagai pendekatan mendapat sokongan, kerana perbuatan membeli sokongan tidak boleh diteruskan.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Sabah Baru News

Exit mobile version