Site icon Sabah Baru News

Pindah KKIA bukan keutamaan

Pembangunan perlu berlandaskan pada keutamaan kerana ianya merupakan paksi kepada kemajuan dan pembangunan seterusnya.

KETUA MENTERI SABAH dalam satu laporan media dipetik sebagai berkata pemindahan Lapangan Terbang Antrabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bukan lah keutamaan memandangkan kemudahan itu masih dapat menampung penumpang udara untuk tempoh 7-10 tahun.

Di masa akan datang jika keperluan timbul maka pemindahan itu akan dipertimbangkan.

Kerajaan negeri mempunyai keutamaan dalam memajukan dan membangun negeri. Kerana itu fokus adalah pada keutamaan itu, khususnya penyediaan kemudahan asas seperti bekalan air terawat, bekalan elektrik dan jalan perhubungan yang memenuhi piawaian.

Pembangunan perlu berlandaskan pada keutamaan kerana ianya merupakan paksi kepada kemajuan dan pembangunan seterusnya.

Tidak ada ertinya tersedianya lapangan terbang besar dan canggih, bangunan pencakar langit mewah, akan tetapi tidak disokong kemudahan asas yang diperlukan.

Memajukan dan membangun negeri perlu pendekatan seimbang antara komersial dan tersedianya kemudahan yang menyokongnya. Tanpa kemudahan yang menyokong nilai harta komersial itu bukannya meningkat malah menurun, kadangkala boleh bertukar sebagai gajah putih.

Berkaitan lokasi lapangan terbaharu itu, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berpendapat, Kimanis adalah lokasi yang sesuai memandangkan tersedianya kemudahan perhubungan yang lebih baik termasuk perkhidmatan keretapi.

Menurut Ketua Menteri itu dalam membuat keputusan berkaitan pembangunan perlu mengambilkira soal alam sekitar, kesan pada penduduk, samada pembangunan itu mengubah bentuk alam semulajadi.

Di Kimanis kerana permukaan tanah yang landai, maka tidak menyebabkan perubahan yang ketara terhadap muka bumi. Pun demikian, setakat ini belum ada sebarang keputusan muktamad berkaitan lokasi baharu Lapangan Terbang, dan akan difikirkan apabila tiba masanya.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Sabah Baru News

Exit mobile version