Site icon Sabah Baru News

Fitnah terhadap Mohd Reza, tindakan ‘desperado’ pembangkang: Mohd Shahril

Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Klias, Mohd Shahril Osin (gambar) menyifatkan berita fitnah terhadap anak kepada Ketua Menteri, Mohd Reza Hajiji dengan kartel dadah adalah tindakan ‘desperado’ (terdesak) pihak pembangkang.

Fitnah terhadap Reza yang mendakwa beliau terbabit dalam kartel dadah di Sabah disifatkan amat keterlaluan dan percaya dakwaan itu tentunya didalangi pihak pembangkang kerana cuba menutup usaha-usaha murni yang dilakukan Ketua Menteri semenjak mengambil alih kepimpinan negeri.


Justeru Mohd Shahril mendesak pihak berkuasa supaya mengesan dalang yang menyebarkan fitnah berkenaan agar tindakan sewajarnya dapat diambil dan mengenakan hukuman yang setimpal kerana jelas membawa kemudaratan dalam pelbagai aspek.


Beliau bimbang sekiranya tiada tindakan diambil terhadap penyebar fitnah, ia kemungkinan akan mengulangi perbuatan itu terhadap mana-mana pemimpin di negeri ini dengan tujuan untuk menjatuhkan imej dan reputasi pemimpin.


Tambahnya fitnah-fitnah yang dibuat memberi gambaran pembangkang tidak ada hala tuju yang jelas malah memperlihatkan perjuangan mereka sekadar ‘retorik’ kerana langsung tidak menyentuh isu rakyat malah lebih berpolitik sepanjang masa.

Ahad lepas, Mohd Reza tampil membuat laporan polis di IPD Tuaran susulan tersebarnya tuduhan yang mengaitkan dirinya dengan kegiatan dadah terbesar di Sabah.


Menurut Mohd Reza, tuduhan dan fitnah yang tersebar luas menerusi aplikasi Whatsapp yang mengaitkan beliau dengan kegiatan itu tidak benar sama sekali dan hanya bertujuan memburukkan namanya.


“Semua dakwaan terhadap saya yang mengaitkan dengan kegiatan dadah adalah tidak berasas serta menjejaskan reputasi dan nama baik diri serta keluarga,” katanya.


Terdahulu, tular rantaian mesej mendakwa anak sulung kepada Ketua Menteri Sabah terbabit dalam kartel dadah di Sabah dan baru-baru ini ditahan serta disiasat polis.


Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis menahan seorang lelaki kerana disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah, yang aktif mengedar syabu sejak 2015.

Baru-baru ini, Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyifatkan taktik itu sebagai perbuatan ‘jijik’ kerana mencemarkan nama baik keluarga Ketua Menteri dan Ketua Penerangan Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat, Anna Bell Perian pula kesal kerana walaupun berbeza ideologi, pembangkang lebih ‘selesa’ menyebar fitnah berbanding menyumbang pandangan membina.

— Kenneddy Corlleus

Exit mobile version