Site icon Sabah Baru News

Tanah seluas 700 ekar diwartakan bina kilang simen di Tongod

Masiung ketika diberi taklimat oleh Micheal.

TONGOD: Kerajaan negeri mewartakan tanah seluas 700 ekar bagi pembinaan kilang klinker dan simen bersepadu bernilai RM2 bilion di Kampung Kawayoi yang terletak 130 kilometer dari Pekan Tongod.

Pengerusi Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd (BCS) Datuk Masiung Banah berkata, daripada jumlah itu, 200 ekar akan digunakan untuk mendirikan kilang dan kuarters pekerja.

Katanya, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dijangka akan melakukan upacara perasmian pecah tanah pada April depan.

“Apabila kilang ini beroperasi, ia bakal menyediakan sebanyak 1,000 peluang pekerjaan yang akan ditawarkan kepada warga tempatan.

“Selain itu, kilang ini juga akan membina jalan raya berturap sejauh 26 kilometer daripada Kampung Matiku, Nabawan ke tapak kilang di Kampung Kawayoi menerusi Inarad,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata demikian selepas majlis dialog bersama penduduk di Kampung Kawayoi,pada hari Selasa (16 Disember).

Menurutnya, projek kilang berkenaan turut menyediakan pelbagai kemudahan asas yang akan memberi manfaat kepada penduduk berhampiran.

Sementara itu, Pengurus Besar BCS Micheal Kinsuan berkata, pihaknya akan membina loji air terawat, stesen janakuasa elektrik 40MW dan menara telekomunikasi di kawasan projek berkenaan.

Katanya, BCS juga turut mendirikan klinik termasuk menaiktaraf masjid dan gereja sedia ada untuk kemudahan penduduk tempatan.

“Semua infrastruktur dan kemudahan asas yang disediakan itu akan dinikmati lebih 6,000 penduduk di Kampung Kawayoi, Inarad, Susui, Langga dan Tudingan.

“Pembinaan infrastruktur termasuk jalan raya dan kemudahan asas itu dianggarkan menelan belanja sebanyak RM350 juta,” katanya.

Micheal berkata, Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) juga merancang mewujudkan kompleks pekan baharu di Kampung Kawayoi yang dilengkapi dengan kemudahan balai polis dan bomba.

Beliau berkata, kilang klinker dan simen itu mampu mengeluarkan sebanyak 5,000 tan simen sehari atau 1.5 juta tan setahun bagi menampung keperluannya di Sabah.

“Saya menjamin harga simen akan lebih murah di pasaran tempatan sebaik sahaja kilang itu beroperasi sepenuhnya dan ia juga akan dieksport ke negara jiran,” katanya.

Turut hadir, Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Haidar Razif Hisyam Ajaz Nabizam dan Pegawai Daerah Tongod Nelson Domal Ulok.

— Hamzah Sanudin

Exit mobile version