Site icon Sabah Baru News

Gelaran ‘pak lebai’ lebih baik berbanding ‘penyamun politik’

KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) menyasarkan kesemua 14 kerusi parlimen di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi menyumbang jumlah kerusi yang lebih selesa untuk membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, apabila PN dapat menguasai 14 kerusi di Kelantan, ia dapat membantu PN kembali mentadbir kerajaan baharu selepas PRU15.

Oleh itu katanya, bagi memastikan perancangan itu dapat dicapai kerjasama dan kerja keras semua pihak diperlukan untuk berdepan dengan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Semua pihak perlu bekerja keras dalam dalam semua gerak kerja untuk berdepan dengan Umno dan PH.

“Kesungguhan dan perpaduan yang digembleng diharap dapat menepati sasaran bagi membentuk sebuah kerajaan baharu di bawah gabungan PN selepas PRU15.

“Kita yakin Malaysia menjadi sebuah negara lebih baik serta hasil kekayaan negara dapat diagihkan secara adil apabila kita menerapkan dasar Islam dalam pentadbiran negara,” katanya pada ceramah Penyatuan Ummah di Dataran Warisan semalam.

Program itu diadakan sempena diadakan sempena sambutan ulangtahun ke-32 dasar Membangun Bersama Islam.

Hadir sama Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Gerakan Mah Kah Keon, Setiausaha Agung PAS Dato’ Seri Takiyuddin Hassan, Ketua Pemuda PAS Malaysia Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Armada Nasional Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal serta wakil NGO.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, sekiranya kesemua 14 kerusi parlimen di Kelantan dapat dikuasai PN ia secara tidak langsung membuktikan Umno dan BN sudah tidak releven lagi.

Malah katanya pemimpin Umno sukar untuk dibawa berbincang atau bekerjasama setelah mereka mendapat kuasa.

Menurutnya juga sebelum ini ada pihak menganggap PAS sebagai parti ‘pak lebai’ namun gelaran itu lebih baik berbanding gelaran ‘penyamun politik’.

AIN MANAF

Exit mobile version