Site icon Sabah Baru News

Tiga projek infrastruktur di Sabah dijangka siap tahun ini

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Haji Yusof berkata, Projek Penambahan Kapasiti Loji Rawatan Air Telibong II Tamparuli dapat memberi manfaat kepada penduduk di kawasan Utara Pantai Barat Selatan Sabah.

KOTA KINABALU: Sebanyak tiga projek infrastruktur dibawah peruntukan kerajaan Persekutuan sedang dalam proses untuk disiapkan dan bakal memberikan manfaat kepada rakyat di negeri ini.

Projek itu adalah Penambahan Kapasiti Loji Rawatan Air Telibong II Tamparuli, Pembahagian – Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Gudon/ Telipok dan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Moyog, Sabah – Pakej 3.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Haji Yusof berkata, Projek Penambahan Kapasiti Loji Rawatan Air Telibong II Tamparuli dapat memberi manfaat kepada penduduk di kawasan Utara Pantai Barat Selatan Sabah.

Katanya, projek itu dapat meningkatkan tahap keupayaan bekalan air daripada 80 JLH ke 160 JLH dan kapasiti simpanan air daripada 94.6 juta liter (JL) kepada 163.3 JL.

“Peningkatan tahap operasi dan perkhidmatan bekalan air itu melibatkan anggaran penduduk seramai 441,000 orang.

“Projek yang sudah siap 94.57 peratus dan dijangka siap sepenuhnya Februari depan akan memberikan peningkatan liputan bekalan ke kawasan Tuaran, Telipok, Menggatal, Inanam dan Likas,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Daya Guna Awam berkata demikian selepas meninjau fasiliti infra bekalan air dan tenaga sempena hari kedua lawatannya ke Sabah, hari ini.

Menurutnya, Projek Pembahagian – PPU Gudon / Telipok pula dibina untuk meningkatkan pembekalan tenaga elektrik ke kawasan Gudon, Sepanggar dan sekitarnya disebabkan peningkatan kapasiti beban.

“Selain itu PPU Gudon juga dapat memastikan pengguna di kawasan Gudon mendapat bekalan elektrik yang berdaya harap. Projek ini sudah siap 49 peratus dan dijangka siap sepenuhnya Ogos depan,” katanya.

Sementara itu, katanya, Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Moyog pula bertujuan mengurangkan keluasan kawasan yang dilanda banjir di dalam lembangan Sg. Moyog terutama di Kepayan dan sekitarnya.

“Pelaksanaan projek ini dapat mengurangkan magnitud dan kekerapan banjir sekali gus meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup penduduk di kawasan Pekan Kibabaig, Donggongan dan Putatan.

“Projek ini juga sudah siap hampir 82.64 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember depan,” katanya.

— Hamzah Sanudin

Exit mobile version