Site icon Sabah Baru News

Memburu mereka yang kaya

Di Malaysia, jika perburuan terhadap mereka yang kaya raya terutama pemimpin politik, tidak keterlaluan jika sebahagian besar akan termasuk dalam senarai yang diburu, atas sebab sebahagian besar pemimpin politik bukan berlatar kaya dahulu sebelum mencebur diri dalam dunia politik. (Gambar Hiasan)

TIDAK pasti apa kah memburu mereka yang kaya masa lalu adalah kaedah membantu rakyat yang terkesan dengan kos sara hidup.

Jika ya, apakah kaedahnya? Cara yang boleh dibuat secara langsung adalah apabila aset atau harta dilucutkan hak atau disita kemudiannya dimonetise maka diagihkan pada mereka yang memerlukan maka dapat meningkatkan pendapatan boleh guna secara sementara.

Atau kah menerusi perburuan itu hanya untuk mengenalpasti bagaimana mereka itu mengumpul kekayaan dan berhenti hanya setakat itu, kerana jikapun di bawa ke mahkamah akan memerlukan masa panjang untuk ditamatkan, kecuali jika ada mahkamah kangaroo.

Memburu mereka yang kaya raya masa lalu boleh berakhir menyebabkan mereka yang diburu itu kembali pada asal sebelum mempunyai kedudukan mahakaya, termasuk juga memenjarakan mereka. Tujuannya, agar di masa hadapan tiada lagi yang bertindak mengumpulkan kekayaan melalui salahgunakuasa atau hubungan politik.

Hakikatnya pada masa ini, mereka yang diburu itu berasaskan maklumat yang didedahkan menerusi “Pandora Papers”, satu pendedahan yang menyenaraikan kekayaan para individu di seluruh dunia, dan kebetulan menyenaraikan mereka yang diburu oleh Kerajaan Malaysia menerusi SPRM walaupun setakat ini, hanya sebahagian daripada mereka yang disenaraikan itu sedang disiasat.

Di Malaysia, jika perburuan terhadap mereka yang kaya raya terutama pemimpin politik, tidak keterlaluan jika sebahagian besar akan termasuk dalam senarai yang diburu, atas sebab sebahagian besar pemimpin politik bukan berlatar kaya dahulu sebelum mencebur diri dalam dunia politik.

Jika SPRM mengguna pakai akta yang ada dalam suruhanjaya itu, maka boleh sahaja meminta sesiapa sahaja menyeneraikan harta yang dimiliki dan meminta bagaimana ianya diperolehi. Ertinya setiap daripada mereka itu perlu menyediakan LAPORAN KEWANGAN yang mengandungi butiran bagaimana aset atau harta diperolehi.

Mereka yang memperolehi harta secara genuine tidak perlu bimbang, dan sewajarnya perlu berbangga kerana dibersihkan daripada sebarang anggapan salahlaku.

Isunya sekarang, apakah pendekatan kerajaan hari ini yang memburu mereka yang mahakaya yang berlaku masa lalu merupakan keutamaan berbanding keadaan yang sedang dihadapi rakyat khususnya tekanan kenaikan kos sara hidup?

Bagi 700,000 rakyat miskin tegar yang terdaftar dalam e-kasih, bermula tahun ini selain bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) juga akan mendapat bantuan SARA yang diberikan menerusi bantuan in-kinds, iaitu barangan keperluan harian sehingga RM1200. Maknanya, tiada lagi rakyat negara ini berhadapan kelaparan.

Kemudiannya apabila subsidi bersasar dilancarkan pada Mac atau Jun depan, maka rakyat yang terkesan mungkin akan lega sedikit himpitan kos sara hidup.

Kerajaan hari ini telah membuktikan secara jelas erti sebenar B40, M40 dan T20 apabila Lembaga Tabung Haji mengeluarkan kos mengerjakan haji bagi tiga kategori rakyat. Maknanya, apabila subsidi bersasar berkuatkuasa, maka akan terdapat juga tiga kategori harga atau harga beli pada barangan yang sama.
Jika pada masa ini pendaftaran PADU agak perlahan, dengan dikeluarkan kaedah kos mengerjakan haji oleh LTH, menunjukkan bahawa kerajaan serius memperkenalkan tiga harga sesuai dengan kategori rakyat, maka menjelang Mac, diyakni, tidak kurang 10 juta rakyat akan tersenarai dalam PADU.

Meneliti cara kerajaan hari ini mengurus negara, mengunakan pendekatan berbagai kaedah, memburu mereka yang super kaya, mengurus perekonomian dan pembangunan, mengurus kos sara hidup. Maknanya kerajaan hari ini, mentadbir negara untuk mencipta asas pentadbiran masa depan negara yang lebih telus, adil dan samarata.

Betul lah pendekatan Kerajaan GRS Sabah, yang bermatlamat pengwujudan kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan, kerana hanya menerusi keadilan, ketelusan dan kesamarataan, tiga elemen itu tercapai.

Penulis berbangga dengan pemimpin Sabah yang menerajui Kerajaan Negeri kerana lebih ke hadapan meletakan asas pemerintahan dan kini terbukti destinasi yang dituju Kerajaan Pusat.

Sewajarnya rakyat Sabah secara umumnya, perlu menyokong kerajaan hari ini untuk meneruskan pemerintahan, sehingga isu-isu seperti jalan perhubungan Kg Magandai Kota Marudu yang disenasikan oleh berbagai pihak, walaupun penyiapan jalan perhubungan itu sedang disiapkan yang mana projek pelaksaannya bermula Disember tahun 2022 yang berkos RM279juta.

Para pemimpin kerajaan negeri yang bersifat seperti diam ubi berisi, jelas lebih lebih maklum akan keperluan rakyat, oleh itu, kesabaran dituntut, kerana pasti, apabila kabut hilang nampak lah gunung.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Sabah Baru News

Exit mobile version