Site icon Sabah Baru News

Kefahaman MA63 perlu diperluas ke akar umbi – Azizah

Azizah bersama Ketua Wanita, Naib Ketua Wanita, Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan Parti-Parti Komponen GRS yang hadir di Majlis Taklimat MA63 Wanita GRS.

KOTA KINABALU : Kefahaman mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu disebarluas hingga ke peringkat akar umbi bagi memastikan rakyat tahu apa yang diperjuangkan selama ini.

Pengerusi Institut Kajian Pembangunan (Sabah),Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun berkata, kefahaman mengenai perjanjian tersebut merupakan suatu perkara yang sangat penting kerana ia merupakan satu perkara perlu diperjuangkan bersama.

“Setiap maklumat, informasi dan penerangan mengenai perjanjian ini harus sampai kepada seluruh rakyat Sabah kerana sekiranya mereka tidak memahami mengenai apa yang diperjuangkan mereka pasti tidak akan bersama-sama kita.

“Ini kerana usaha tersebut tidaklah eksklusif hanya kepada satu-satu pihak sahaja dan apapun yang diperjuangkan untuk kebaikan rakyat mestilah disokong oleh semua.

“Rakyat perlulah memahami dengan sejelas-jelasnya mengenai perjanjian tersebut supaya dapat meneruskan perjuangan ini bersama-sama dan akhirnya berjaya mencapai kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Taklimat Perjanjian Malaysia 1963(MA63) Bersama Pemimpin Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), di sini semalam.

Azizah yang juga merupakan Ketua Wanita GRS berkata, bagi memastikan kefahaman mengenai perjanjian tersebut sampai ke akar umbi, silibus berkaitan perjanjian demikian juga disarankan untuk dimasukkan ke dalam pendidikan negara.

“Ini bagi memastikan pelajar-pelajar kita tiada lagi yang tertanya-tanya tentang perjanjian tersebut dan dapat memastikan pelajar dapat memahami dengan lebih jelas mengenai perjanjian tersebut,” katanya.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kunak, Datuk Norazlinah Arif.

Taklimat sehari itu disampaikan oleh Ariff Adi Putera Anwar dan disertai seramai 65 peserta yang terdiri daripada pemimpin wanita dari seluruh Sabah.

TAMAT

Exit mobile version