Site icon Sabah Baru News

Anwar, Hajiji terus melangkah di sebalik Langkah Dubai dan Langkah Kinabalu

Malam kelmarin, Hajiji (kiri) mengulangi dukungan dan komitmen padu Sabah kepada pimpinan Anwar (kanan) dan Kerajaan Perpaduan.

BERPOLITIK harus bermusim.  Hanya pada waktu pilihan raya. Sepatutnya sekali dalam lima tahun. Demikian mengikut sistem demokrasi berparlimen. Untuk memilih pemimpin dan mengangkat parti. Bagi membentuk kerajaan yang mentadbir negeri. Bukan berpolitik sepanjang musim.

Pemimpin yang diangkat harus diberi peluang. Parti yang dipilih mesti disediakan kesempatan. Untuk membuktikan keupayaan membela rakyat dan membangun negeri. Tanpa gugatan.

Berpolitiklah di musim pilihan raya. Biar sejauh manapun selagi dibenar mengikut batas undang-undang.

Kerana di waktu pilihan raya, rakyat mengadili pemimpin dan parti. Di hujung jari mereka ada kuasa sakti biarpun hanya punya satu undi. Mereka akan memangkah dan memilih pemimpin atau parti yang mereka rasa mampu berbakti, selepas menilai pakej dan tawaran terkandung dalam manifesto masing-masing. Tanpa adu domba.

Berpolitik tanpa musim umpama La Nina, fenomena alam yang meninggalkan kesan terhadap ekosistem dan kehidupan manusia. La Nina adalah hujan lebat yang meresahkan. Diikuti tragedi banjir yang menjadi igauan ngeri. Demikian analogi parahnya jika berpolitik sepanjang musim.

Tiada faedah politiking berterusan. Inilah mesej yang tertuang dalam ucapan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor, malam kelmarin, susulan pelbagai sandiwara dan drama, baik di pentas politik Sabah mahupun di panggung politik nasional.

Sabah digoncang kudeta politik menerusi Langkah Kinabalu tahun lepas, manakala Kerajaan Perpaduan pula dihambat teori adanya Langkah Dubai mutakhir ini.

Namun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis Langkah Dubai, sambil menegaskan tumpuan kerajaan pimpinannya adalah soal membangun negara dan menjaga rakyat.

TERUS MELANGKAH: Hajiji menyambut Anwar ketika tiba untuk lawatan rasmi ke Sabah pada 6 Disember lepas. – Gambar Penerangan.

Malam kelmarin, Hajiji mengulangi dukungan dan komitmen  padu Sabah kepada pimpinan Anwar dan Kerajaan Perpaduan.

Di hadapan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, sempena Majlis Makan Malam meraikan lawatan rasmi Kerajaan Negeri Selangor, Hajiji menyatakan bahawa Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini berfungsi dengan cukup baik dan berkesan, justeru perlu didukung sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat dan kesinambungan pembangunan ekonomi negara.

Senada dengan kenyataan Perdana Menteri, Hajiji turut menegaskan bahawa politiking berterusan tidak menguntungkan sesiapa, malah merugikan rakyat dan negara.

Baginya, sekarang ini adalah masa untuk bekerja, berkidmat kepada rakyat bagi memenuhi aspirasi mandat demokrasi.

Justeru, kata beliau, kerajaan negeri yang dipimpinnya terus fokus untuk mengutamakan kemajuan, pembangunan dan kesejahteraan hidup rakyat.

Hakikatnya, pentas politik tidak pernah sepi pasca pilihan raya lepas. Di Sabah misalnya, berbagai lakonan, drama dan sandiwara terus dipentaskan tanpa henti oleh para sarkas di atas pentas politik.

Cerita bertambah sensasi mengenai adanya perselingkuhan politik selepas Langkah Kinabalu gagal. Yang dulu bermusuhan kini kembali bersahabat. Ia bukan lagi rahsia tersembunyi.

Demikian juga di peringkat Persekutuan, agas-agas politiik menyatu dan berkonfrantasi dengan kerajaan sedia ada menerusi apa yang dikatakan sebagai Langkah Dubai.

Namun, di sebalik Langkah Dubai dan Langkah Kinabalu itu, Anwar dan Hajiji terus gah melangkah dan menggalas amanah rakyat yang telah memberikan mandat kepada mereka menerusi sistem demokasi berparlimen.

Lichong Angkui ialah seorang wartawan veteran Sabah.Beliau juga merupakan Ketua Pengarang Utusan Borneo.
Exit mobile version