Site icon Sabah Baru News

Siasatan lemah orang tidak bersalah teraniaya

Di negara ini, banyak kejadian orang terlekat dengan persepsi jenayah seperti salahgunakuasa, rasuah, kerana disiasat, ditahan reman dan ada yang didakwa, akan tetapi kemudiannya dibebaskan dan dilepaskan.

CUBA bayangkan para individu yang terpaksa merengkuk dalam tahanan berbulan-bulan kerana tuduhan berkaitan jenayah bunuh dan kemudiannya dihadapkan ke mahkamah dan dibicarakan berhari-hari, tetapi kemudiannya pihak pendakwaan tidak meneruskan pendakwaan kerana ada bukti baharu, yang menunjukkan mereka yang didakwa dan dibicarakan tiada hubungkait dengan jenayah yang dituduh.

Keadaan ini boleh berlaku, kerana hanya satu, kelemahan siasatan. Berpandukan pada kelemahan siasatan, maka orang kena tuduh (OKT) dilepaskan dan dibebaskan.

Fenomena orang tidak bersalah terananya yang melibatkan siasatan pihak berkuasa yang lemah perlu dilihat secara serius, atas sebab, walaupun OKT dilepaskan dan dibebaskan, kerosakan telah berlaku yang berbentuk noda hitam pada individu atau orang yang tidak bersalah itu.

Di negara ini agensi yang terlibat dengan siasatan adalah PDRM dan SPRM. Memang bukan mudah menjalankan siasatan, akan tetapi jika penyiasat dilengkapi dengan kepakaran siasatan baik dari kebolehan psikologi manusia dan ketajaman mengintprestasi gerak badan dan percakapan serta pemanfaatan kronologi kejadian serta fakta lapangan atau fakta sokongan, boleh mengelak orang tidak bersalah ditahan, dituduh, dibicarakan. Maknanya, jika kaedah sedemikian dapat digunakan maka selain menjimat masa mahkamah juga kos yang terlibat dalam perbicaraan, selain tidak sewenang-wenang memalitkan imej buruk pada mereka yang tidak bersalah.

Di negara ini, banyak kejadian orang terlekat dengan persepsi jenayah seperti salahgunakuasa, rasuah, kerana disiasat, ditahan reman dan ada yang didakwa, akan tetapi kemudiannya dibebaskan dan dilepaskan. Pun demikian, bagi mereka dibabitkan itu, walaupun kemudiannya didapati tiada sebarang pengelibatan berkaitan tuduhan akan tetapi di mata masyarakat mereka telah dijatuhi hukuman, hanya kerana kelemahan siasatan.

Malangnya bagi pemimpin politik, rekod lampau itu digali semula oleh “haters” untuk dikitar semula dan ditokok tambah, dengan tujuan politik, kerana pemimpin politik itu masih aktif dan merupakan saingan kepada mereka atau pemimpin mereka.

Tidak menjadi masalah bagi mereka yang didakwa itu jika berkemampuan mengupah peguam akan tetapi yang tiada kemampuan terpaksa menanggung kesengsaraan kesan daripada kelemahan siasatan.

Sebelum lebih ramai yang tidak berdosa teraniaya, maka mekanisme siasatan bukan sahaja perlu diperbaiki akan tetapi perlu dilengkapi dengan kaedah efektif yang dapat membuahkan hasil siasatan yang sukar dipertikai untuk mencegah mereka yang tidak berdosa ditahan reman, didakwa. Fikir-Fikirkan.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Sabah Baru News

Exit mobile version