Site icon Sabah Baru News

Media perlu patuhi etika kewartawanan, salur berita tepat

PENGHARGAAN: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menerima cendera kenangan daripada Jainisah.

TAWAU: Pengamal media di negeri ini perlu memainkan peranan dengan etika kewartawanan bagi memastikan laporan yang dihasilkan dapat memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pengamal media arus perdana adalah pelapor berita yang dipercayai dan dijadikan rujukan oleh masyarakat.

Katanya, etika kewartawanan harus dipatuhi supaya laporan yang dihasilkan tidak memberi kesan negatif dan mengganggu perpaduan yang sedia terjalin di negara ini.

“Ketika ini teknologi semakin canggih dan sesiapa sahaja boleh menulis di media sosial tanpa sebarang sekatan sama ada kandungan yang muat naik itu sahih ataupun tidak.

“Justeru, peranan wartawan arus perdana perlu membantu menangkis segala tulisan tidak sahih yang berlegar di media sosial ketika ini,” katanya.

ALBUM: Nizam (duduk tengah) bersama petugas media zon Tawau yang hadir dalam majlis berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Malam Mesra Media Zon Tawau bersama JaPen Sabah,” di sini pada Khamis.

Menurutnya, peranan wartawan juga dituntut bagi menyebarluaskan lagi hala tuju dan pencapaian kerajaan negeri yang ada hari ini.

Katanya, kerajaan negeri yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sentiasa memberikan perhatian terhadap keperluan media di Sabah.

“Saya berharap wartawan dapat bersama dengan kerajaan negeri supaya menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat khususnya di luar bandar.

“Kerajaan negeri hari ini sudah mentadbir dengan baik terutamanya meningkatkan ekonomi dan membela nasib rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Mengulas mengenai majlis ini, Nizam berkata, ia adalah usaha yang murni dilakukan oleh Jabatan Penerangan Negeri Sabah (JaPen Sabah) bagi menghargai peranan semua pengamal media di daerah ini.

“Majlis ini dapat memberi suntikan semangat kepada semua petugas media yang selama ini komited bertugas di lapangan terutamanya melaporkan program-program kerajaan.

“Saya harap majlis seumpama ini dapat dilakukan setahun sekali bagi mengeratkan lagi silaturahim antara pemimpin, JaPen Sabah dan semua petugas media di daerah ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JaPen Sabah Jainisah Mohd Noor berkata, majlis ini adalah julung kali diadakan dan ia sebagai inisiatif bagi mengeratkan hubungan dengan semua petugas media di Sabah.

Katanya, JaPen dan petugas media berjalan seiring kerana bersama memberikan maklumat kepada rakyat terutamanya menyampaikan dasar dan inisiatif kerajaan supaya tidak timbul kekeliruan orang ramai.

“Kita harap semua rakan media kekal memberikan pelaporan yang penuh etika dan tidak menyampaikan berita yang mengelirukan.

“Saya juga menggesa rakan media yang mempunyai saluran media tersendiri terutamanya atas talian supaya mendaftar dengan JaPen bagi memudahkan mereka mendapat maklumat yang tepat,” katanya.

— Hamzah Sanudin

Exit mobile version