Site icon Sabah Baru News

19 PTI ditahan di kawasan setinggan di Putatan

OPERASI: Pasukan polis, Imigresen menjalankan pemeriksaan terhadap individu dalam Operasi Bersepadu di kawasan setinggan di Kampung Tebongon, Putatan.

PENAMPANG: Seramai 19 Pendatang Tanpa Izin (PTI) ditahan dalam Op Bersepadu membanteras PTI Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang yang dijalankan bermula 10 malam Jumaat sehingga 2 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang Superintendan Sammy Newton berkata operasi dilaksanakan dengan kekuatan seramai 48 pegawai dan anggota polis dan kerjasama Jabatan Imigresen serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Operasi yang dijalankan di kawasan setinggan Kampung Tebongon di daerah ini memeriksa seramai 53 individu.

“Hasil pemeriksaan menahan 19 PTI kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Menurutnya kesemua individu yang ditahan mengikut kesalahan Seksyen 6 (1) (c) diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata polis akan mempergiat operasi seperti ini dalam usaha untuk mengekang kemasukan dan kebanjiran PTI di dalam daerah ini.

“Polis juga menasihatkan masyarakat setempat supaya tidak memberikan ruang atau peluang kepada PTI untuk mendirikan kediaman di tanah milik persendirian ataupun menyewakan rumah kepada mereka.

“Tindakan menawarkan tempat tinggal atau tempat kerja kepada PTI adalah kesalahan yang menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen,” katanya.

UB

Exit mobile version