Site icon Sabah Baru News

Thailand, China tandatangani perjanjian perjalanan bebas visa untuk warganegara

Thailand dan China telah menandatangani satu perjanjian mengenai perjalanan bebas visa untuk warga kedua-dua negara sehingga 30 hari.

BANGKOK: Timbalan Perdana Menteri Thailand yang juga Menteri Luar, Parnpree Bahiddha-Nukara dan Menteri Luar China, Wang Yi telah menandatangani satu perjanjian mengenai perjalanan bebas visa untuk warga kedua-dua negara sehingga 30 hari, kata Kementerian Luar Thailand pada Ahad, lapor Sputnik.

“DPM/FM (Timbalan Perdana Menteri/Menteri Luar) Parnpree Bahiddha-Nukara dan Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat CPC (Parti Komunis China), Pengarah Pejabat Suruhanjaya Hal Ehwal Luar CPC dan Menteri Luar China Wang Yi menandatangani perjanjian antara Kerajaan Thailand dan Kerajaan China mengenai Pengecualian Bersama Visa untuk Pemegang Pasport Biasa dan Pasport untuk Hal Ehwal Awam,” kata kementerian itu di X.

Dalam satu kenyataan berasingan, Kementerian Luar Thailand berkata, majlis menandatangani perjanjian yang akan berkuat kuasa pada 1 Mac itu diadakan di bangunan Kementerian Luar Thailand di sini.

Kementerian luar berkata, perjanjian itu memperuntukkan tiga perjalanan bebas visa sehingga 30 hari setahun, tetapi had itu tidak terpakai untuk kediaman tetap, pekerjaan, belajar, tugas kewartawanan dan perjalanan lain yang memerlukan permit khas daripada pihak berkuasa negara yang mengambil bahagian dalam perjanjian.

Menteri Luar China berada dalam rangka lawatan negara ke Thailand dari 25 hingga 29 Jan.

Semasa lawatan itu, pegawai kedua-dua negara mengadakan mesyuarat di bawah protokol memperdalam kerjasama yang ditandatangani tahun lepas.

Menteri-menteri itu membincangkan isu berkaitan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada 2025.

Wang juga bertemu dengan Penasihat Keselamatan Negara AS Jake Sullivan semasa di Bangkok. – BERNAMA-SPUTNIK

AWANI

Exit mobile version