Site icon Sabah Baru News

Cadangan skim pencen: Perlu bincang dengan Sabah, Sarawak – Yong

Yong mewakili Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan ucapannya di Majlis Pelancaran Jelajah Wanita GRS Zon 5B di sini pada Ahad.

KOTA KINABALU: Sabah dan Sarawak perlu terlibat dalam perbincangan cadangan Kerajaan Persekutuan untuk memperkenalkan skim pencen baharu, kata Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee.

Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata ini termaktub dalam dokumen Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) di mana kepentingan kedua-dua negeri Borneo mesti dipelihara, sama seperti terma Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau menegaskan bahawa beliau tidak menyokong mahupun menentang cadangan itu.

“Namun, sebelum pelaksanaannya, kita mesti melihat secara menyeluruh dan perbincangan mesti melibatkan kerajaan Sabah (selain Sarawak),” katanya .

“Ini (kerana) ada pesara di Sabah di bawah perkhidmatan awam negeri tetapi pencen itu dikendalikan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Pencen ini tidak penting untuk pesara tetapi waris mereka,” tambah bekas ketua menteri ketika ditemui Media sejurus menghadiri Pelancaran Jelajah Wanita GRS Zon 5B di Dewan Serbaguna Libaran, di sini, pada Ahad.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Bersama GRS Tan Sri Pandikar Amir Mulia dan Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Redonah Bahanda.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa skim pencen baharu yang diumumkan baru-baru ini hanyalah cadangan dan belum ada keputusan dibuat berhubung perkara itu.

Anwar berkata cadangan itu akan dibawa ke Parlimen kerana ia memerlukan pindaan kepada Perlembagaan, sebagai respons kepada pelbagai kebimbangan yang disuarakan mengenai cadangan skim itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengumumkan hasrat kerajaan untuk memperkenalkan dasar pengambilan perkhidmatan awam baharu yang menggabungkan skim pencen baharu.

Dengan cadangan ini, pencen tradisional akan dimansuhkan secara berperingkat dan diganti dengan caruman kepada skim persaraan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial untuk pekerja baharu.

— TAMAT

Exit mobile version