Site icon Sabah Baru News

Tiada keperluan PRN17 Sabah diawalkan

Halatuju kerajaan negeri adalah Sabah Maju Jaya (2021-2025). Menjelang pilihan raya PRN17 iaitu selepas Oktober 2025, maka rakyat dapat menilai sejauh mana pencapaian pelan pembangunan 5 tahun negeri itu. (Gambar Hiasan)

BIASANYA jika sesebuah kerajaan bercadang memperkenalkan polisi atau rancangan baharu dan memerlukan jangka masa tertentu, maka meminta mandat daripada rakyat agar rancangan itu dapat diteruskan tanpa ragu-ragu.

Memandangkan kerajaan negeri yang ada sekarang telah lebih awal memperkenalkan halatuju sejak tahun 2021 sebelum setahun memerintah, maka tiada keperluan meminta mandat rakyat, kerana mandat yang diberikan sebelum itu diterjemahkan menerusi halatuju itu.

Halatuju kerajaan negeri adalah Sabah Maju Jaya (2021-2025). Menjelang pilihan raya PRN17 iaitu selepas Oktober 2025, maka rakyat dapat menilai sejauh mana pencapaian pelan pembangunan 5 tahun negeri itu.

Kerajaan hari ini fokus merealisasikan apa yang terkandung atau dirancang menerusi pelan pembangunan itu, selain cuba menyelesaikan isu-isu yang diwarisi terutama berkaitan kemudahan asas seperti bekalan air, bekalan elektrik dan jalan-jalan perhubungan yang sedang dalam penyiapan.

Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, fokus menyelesaikan isu-isu yang dihadapi rakyat adalah keutamaan.

Menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi rakyat memerlukan masa sekurang-kurangnya 5 tahun. Dalam tempoh 5 tahun itu, akan dilihat pencapaian setakat mana, kemudian semasa pilihan raya dihebahkan pada rakyat setakat mana direalisasikan dan yang belum seterusnya diberi tahu tempoh yang diperlukan untuk penyiapan sepenuhnya.

Rancangan atau projek pembangunan terutama yang berskala besar memerlukan masa, atas sebab itu, rakyat kena faham, kerajaan yang merancangnya perlu diteruskan agar projek itu dapat disiapkan menurut jadual.

Banyak projek pembangunan yang dirancang kerajaan dijadual siap selepas tahun 2025. Jika berlaku perubahan kerajaan, maka dibimbangi projek-projek tersebut terbengkalai, seperti mana berlaku pada lebuhraya Pan Borneo, projek-projek berkaitan bekalan air dan naik taraf beberapa jalan utama.

Dalam keadaan sekarang, isu-isu kemudahan asas masih menghantui sebahagian besar rakyat, mengadakan pilihan raya, sama sahaja memberi modal percuma pada pembangkang kerana pihak pembangkang tentunya mengambil peluang mengecam kerajaan dengan berbagai dakwaan termasuk fitnah.

Dalam keadaan sekarangpun, sementara projek-projek berkaitan kemudahan asas sedang rancak berjalan berbagai fitnah ditaburkan, untuk mengabui mata rakyat.

Pembangkang tidak menyampaikan pada rakyat kedudukan berkaitan projek-projek yang sedang berjalan, sebaliknya membangkitkan isu-isu yang sedang dihadapi, seolah-olah kerajaan tidak berbuat apa-apa.

Bayangkan di tengah-tengah berkempen berlaku black-out, tentunya menjadi modal percuma kempen bagi pembangkang.

Memang isu kemudahan asas tidak sepenuhnya selesai menjelang Okotber 2025, akan tetapi sekurang-kurangnya banyak yang diselesaikan.

Isu yang dihadapi rakyat bukan sahaja berkaitan kemudahan asas akan tetapi isu kenaikkan kos sara hidup.

Diharapkan apabila subsidi bersasar dilaksanakan menjelang Mac atau Jun tahun ini, tekanan kos sara hidup bagi rakyat yang terkesan dapat berkurangan, dan tidak menjadi modal kempen pembangkang.

Hakikatnya, mana-mana kerajaan pun, akan berhadapan keadaan yang sama, kerana tiada kerajaan yang mempunyai lampu alladdin untuk menyelesaikan masalah.

Apa yang rakyat perlu ingat, adalah kerajaan yang telah teruji dan telah menemui ramuan atau kaedah penyelesaian, jika ianya ditukar, maka kerajaan yang baharu akan bermula dengan trail and error, yang belum tentu menemukan kaedah penyelesaian, malah mungkin bertambah buruk, seperti mana berlaku, semasa Kerajaan Parti Warisan mengambil alih kerajaan negeri, hanya dalam tempoh 26 bulan perekonomian negeri hampir musnah.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Nasib baik rakyat Sabah bertindak bijak pada PRN16 memberi mandat pada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memerintah, jika tidak kebarangkalian tinggi perekonomian negeri sudah lumpuh.

Untuk rekod, Kerajaan Warisan mewarisi pertumbuhan ekonomi 8.1 peratus, dan kerajaan GRS diwarisi dengan pertumbuhan negatif 9.2 peratus. Akan tetapi dalam setahun pemerintahan pertumbuhan ekonomi dapat dipulihkan menjadi positif, malah kutipan hasil negeri mecatit rekod hampir RM7bilion pada tahun 2022.

Pencapaian kerajaan GRS bukan sahaja berkaitan kutipan hasil, akan tetapi nilai perdagangan negeri mencatit rekod tertinggi sejak merdeka, iaitu RM118.1bilion pada tahun 2022.

Pencapaian lain adalah berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) banyak pencapaian termasuk bayaran khas menjadi RM300 juta daripada RM26.7 juta, kawal selia tenga, dan kuasa-kuasa Persekutuan yang diperturunkan kepada negeri.

Pihak pembangkang mahu sangat disegerakan PRN17 kerana mereka bimbang ketandusan modal mempepengaruhi rakyat, kerana semakin genap 5 tahun pelan pembangunan negeri menerusi Sabah Maju Jaya, semakin banyak pembangunan dan kemajuan yang dilakar.

Pemimpin yang mahu sangat pilihan raya sebelum penggal berakhir adalah para pemimpin yang bimbang akan kejayaan dan pencapaian kerajaan, kerana ianya merupakan trek rekod, berbanding mereka yang hanya tahu menabur janji bulan bintang, kosong seperti tin kosong, nyaring saja bunyi tetapi tidak membawa erti apa-apa.

Pada keadaan PRN17 masih jauh, tanda-tanda pembangkang ketandusan modal untuk memperngaruhi rakyat, apabila mereka memilih fitnah dan pembohongan. Spin doktor mereka siang malam memuat naik di media-media sosial cerita karut marut, fitnah, berkaitan pemimpin kerajaan.

Cerita-cerita yang didendang para cybertrooper pembangkang, zero manfaat pada rakyat dan negeri, sebaliknya, menggambarkan betapa busuk hati mereka itu. Mereka langsung tidak faham dalam dunia demokrasi ada semak dan imbang, melainkan apa yang mereka faham menjadi pembangkang mesti menabur fitnah dan pembohongan. Sebab itu, golongan mereka FITNAH BERPISAH TIADA.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Sabah Baru News

Exit mobile version