KUALA LUMPUR – Cabaran paling besar apabila dilantik menjadi Menteri Kanan Pendidikan ialah menguruskan kementeriannya ketika pandemik Covid-19 melanda, kata Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Menurutnya tidak pernah ada seorang pun Menteri Pendidikan atau ketua setiausaha dan kakitangan lain, termasuk guru, yang pernah menguruskan kementerian itu sewaktu pandemik, yang bukan sahaja menular di Malaysia, malah di seluruh dunia.
“Saya angkat sumpah 19 haribulan…masuk secara rasmi di kementerian 11 haribulan… PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan pada 18 haribulan. Itu keadaannya.
“Dan biasanya menteri baharu ini pegawai-pegawai seperti ketua setiausaha, ketua pengarah pendidikan, tahu ada perkara untuk dibincangkan. Tapi bila masuk bab-bab pengurusan pandemik… tidak ada yang berpengalaman menguruskannya.
“Jadi apa yang kita buat, kita duduk bersama… dalam keadaan susah kita membentuk satu pasukan yang cukup mantap di kementerian… dan saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pegawai kementerian… ada yang dah bersara pun, yang pernah melalui dua setengah tahun yang sukar ini.
“Daripada tak ada garis panduan nak masuk sekolah… waktu itu nak pergi sekolah macam mana dengan check suhunya, dengan di sekolah jarak satu meter… ini semua kekal dalam memori,” katanya pada program Soal Rakyat: Pendidikan Membina Generasi Gemilang disiarkan TV3, baru-baru ini.
Radzi berkata beliau beruntung kerana mendapat kerjasama palbagai pihak di kementerian, termasuk guru-guru di sekolah, yang bergerak sebagai satu pasukan.
“Saya beruntung bersama dengan guru-guru dalam tempoh yang sukar ini untuk memastikan benda yang tak boleh nak buat kita boleh buat. Jika kita ingat peperiksaan SPM 2020 yang itu paling mencabar sekali nak buat.
“Empat kali tangguh. Setiap kali tangguh kena belasah… namun begitu dengan kerjasama semua pihak kita bergerak sebagai satu enjin besar… cikgu semua bekerjasama dengan pengetua bergerak sebagai satu pasukan untuk memastikan SPM 2020 dapat dilaksanakan.
Alhamdulillah kita dapat laksanakan dengan amat baik dan buat pertama kali dalam sejarah, walaupun tempoh sukar… kertas peperiksaan SPM dimarkahkan secara atas talian keseluruhanny,” katanya.
Menurutnya lebih lima juta skrip kertas soalan SPM diimbas satu persatu, sehinggalah akhirnya keputusan SPM 2020 dikeluarkan dua minggu lebih awal.
Radzi berkata melalui ruang yang ada selama dua setengah tahun itu juga pihaknya melihat apakah penambahbaikan dalam sistem pendidikan negara yang telah dan boleh dilakukan.
Malah paling penting, katanya ialah penambahbaikan struktur itu sendiri bagi melonjakkan sistem pendidikan negara ke tahap yang lebih baik, termasuk menyediakan internet di seluruh kawasan sekolah.
—Berita Bersatu