Site icon Sabah Baru News

Yusof ajak rakyat manfaatkan perayaan, kukuhkan silaturahim

ALBUM: Yusof merakamkan gambar kenangan bersama Lim semasa mengunjungi rumah terbukanya itu.

SIPITANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob mengajak rakyat supaya mengambil peluang sempena perayaan untuk mengukuhkan tali silaturahim demi mengekalkan keharmonian masyarakat majmuk.

Yusof berkata, kestabilan yang dikecapi hasil perpaduan dalam kalangan rakyat secara tidak langsung memberi kesan baik kepada pembangunan Sabah secara amnya dan pada masa sama dapat dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain dalam aspek kesatuan.


Beliau yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad memberitahu, rakyat di wilayah ini amat bersyukur kerana dapat merayakan perayaan masing-masing dalam suasana yang harmoni jika dibandingkan dengan negara lain.


Justeru beliau mengajak rakyat di wilayah Sabah supaya terus mengekalkan semangat kesepakatan yang wujud dan meminta agar dipereratkan bagi mengukuhkan lagi tali ikatan bagi memastikan generasi akan datang terus memelihara perpaduan jitu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengunjungi beberapa rumah masyarakat Tiong Hua yang meraikan sambutan Tahun Baharu Cina 2024 di sekitar Sipitang, baru-baru ini.


Yusof yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sindumin turut meluangkan masa mengunjungi AJK Bahagian Gagasan Rakyat Sindumin, Lim Kai Hok yang membuat rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina.


Beliau percaya budaya kunjung mengunjung yang menjadi amalan rakyat berupaya menyuburkan lagi tali persaudaraan dan juga persahabatan, malah yakin ia dapat memupuk semangat toleransi sekaligus menjadikan Sabah lebih harmoni.


Yusof juga kagum melihat semangat masyarakat yang ditemui apabila berkunjung ke rumah terbuka yang diadakan kerana dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat tidak kira bangsa dan agama malah merentasi idealogi politik.


Sempena perayaan itu, Yusof turut mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat Tiong Hua, dengan harapan semoga semuanya sihat sejahtera, dimurahkan rezeki dan dilimpahi dengan keberkatan.

Kenneddy Corlleus

Exit mobile version