Site icon Sabah Baru News

Fenomena ombak besar dipercayai punca runtuhan tunggul laut ikonik di Bako: SFC

Tunggul batu ikonik di Bako runtuh pada Selasa kemungkinan disebabkan fenomena ombak. – Gambar Facebook SFC

KUCHING: Struktur batu ikonik di Taman Negara Bako iaitu tunggul laut menyerupai kepala ular yang runtuh pada Selasa kemungkinan disebabkan fenomena ombak besar, demikian kata Sarawak Forestry Corporation (SFC).

SFC menerusi catatan Facebook hari ini, berkata kejadian itu dilaporkan oleh pemandu pelancong di taman itu, Paul Matthew pada jam 4.00 petang Selasa.

“Kemungkinan, runtuhnya tunggul laut ini disebabkan oleh fenomena ombak besar yang berlaku di perairan Bako sejak beberapa hari yang lepas.

“Tunggul laut ini merupakan salah satu khazanah geologi negara yang terbentuk dari kesan hakisan batuan pasir selama berjuta-juta tahun,” menurut SFC.

Formasi batu yang ikonik dan terkenal di Taman Negara Bako yang menjadi tarikan pelancong sebelum ini. – Gambar Facebook SFC

Katanya formasinya yang unik dan indah telah memukau dan mempersonakan pandangan pengunjung yang datang melihatnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SFC Abang Arabi Abang Aimran menyatakan rasa terkejut dan sedih setelah mendengar berita tersebut. 

Beliau menegaskan bahawa tunggul laut itu bukan sahaja menarik dari aspek keindahan semula jadi, tetapi juga memberi sumbangan yang besar kepada industri pelancongan tempatan, terutama pengusaha bot di Taman Negara Bako. 

Beliau juga menjelaskan bahawa ramai pengujung telah melihat keindahan alam ini.

“Kita seharusnya sentiasa mengaguminya dan tidak mengambil mudah anugerah yang telah dikurniakan ini. 

“Anugerah alam ini kadang-kadang boleh dipulihkan dan kadang-kadang tidak dapat digantikan,” ujarnya.

Satu set lengkungan laut dan tunggul laut ikonik yang serupa di Victoria, Australia, yang dipanggil 12 Rasul juga mengalami proses runtuhan yang sama.

Buat masa ini, daripada 12 tiang atau lengkungan asal, hanya lapan yang masih wujud.

UB

Exit mobile version