Site icon Sabah Baru News

Skuad lelaki muncul juara kumpulan, jumpa Singapura di suku akhir BATC 2024

Lee Zii Jia ketika beraksi menentang Lin Chun Yi pada BATC 2024 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) Shah Alam, 15 Feb 2024. –fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Skuad lelaki negara muncul juara kumpulan B selepas menewaskan Taiwan 3-2 dan akan menentang Singapura pada aksi suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Pusat Konvensyen Setia City, di sini, hari ini.

Aksi terakhir peringkat kumpulan malam tadi menyaksikan pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia memulakan rentak cemerlang dengan menewaskan juara Masters Kaohsiung 2023, Lin Chun Yi, 21-16, 21-13.

Bagaimanapun Taiwan berjaya menyamakan kedudukan hanya dalam 34 minit perlawanan dengan kehadiran beregu gandingan baharu Lee Jhe-Huei dan Lee Yang mengejutkan bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menerusi kemenangan straight set 21-23, 17-21. 

Bagaimanapun, pemain perseorangan negara, Leong Jun Hao kembali menghidupkan peluang skuad negara apabila mengalahkan Lee Chia Hao 21-19 dan 21-17, sebelum mata buat Malaysia terus ditambah beregu negara Goh Sze Fei-Nur Izzudin Mohd Rumsani yang mengatasi satu lagi pasangan baharu Wang Chi Lin-Yang Po Han, 21-19, 21-14.

Dalam pada itu, pemain perseorangan negara, Eogene Ewe, yang diturunkan sebagai pemain terakhir, terpaksa akur apabila ditumpaskan oleh pemain ke-39 dunia, Chi Yu Jen, 16-21,14-21.

Sementara itu, Zii Jia mengakui strategi ampuh yang dipertaruhkan jurulatihnya Wong Tat Meng dalam kejohanan dwithahunan itu serba menjadi untuk memberikan hasil kepada pasukan Malaysia selain berharap dapat meneruskan fokus berkenaan pada aksi suku akhir.

Ketika ditanya mengenai kesnya dengan bekas jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya yang dipersetujui untuk diselesaikan di luar mahkamah, bekas juara Seluruh England itu berkata beliau lega terhadap keputusan berkenaan dan berharap kedua-dua mereka akan terus maju jaya pada masa hadapan.

“Secara jujur saya sebenarnya tidak mengikuti kerana kakak dan peguam sayang membuat susulan dengan berita ini dan ia keputusan positif. Boleh melangkah ke hadapan dengan legas,” katanya.

Terdahulu, menerusi kenyataan media dikeluarkan oleh pihak peguam Indra semalam memaklumkan keputusan itu berdasarkan persefahaman bersama yang disahkan menerusi suratcara peguam masing-masing.

Surat berkenaan dikeluarkan melalui Tetuan Law Partnership (bertindak bagi pihak LZJ Management Sdn Bhd) bertarikh 6 Feb dan Tetuan Wan Ahmad Ridzuan Co (bagi pihak Indra), pada Rabu (14 Feb).

Pada Januari tahun lepas, Indra dilapor memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Zii Jia selepas mendakwa diberhentikan secara tidak adil oleh Team LZJ pada November 2022.

Indra menandatangani kontrak tiga tahun dengan Team LZJ pada Februari 2022 tetapi diberhentikan sembilan bulan selepas itu. — BERNAMA

AWANI

Exit mobile version