Site icon Sabah Baru News

Hajiji layak digelar ‘Bapa Perpaduan Sabah’

Lo berkata demikian sempena Pesta Tahun Baru Cina 2024 Parlimen Tawau di Dewan Masyarakat Tawau, di sini semalam.

TAWAU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor layak digelar ‘Bapa Perpaduan Sabah’ kerana sumbangannya dalam mengukuhkan perpaduan rakyat negeri ini tanpa mengira kaum, agama dan budaya.

Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui berkata, beliau (Hajiji) dilihat sangat mementingkan perpaduan di negeri ini sehinggakan semua kaum dan agama turut mendapat peruntukan tanpa terkecuali.

Katanya, beliau mahu menerapkan bahawa hanya melalui perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama sahaja yang akan menjamin pembangunan dapat terus dilaksanakan di negeri ini.

Menurutnya, setiap rakyat tanpa memilih latar belakang diberikan bantuan dan sumbangan ‘tanpa banyak soal’, termasuklah sumbangan untuk meraikan perayaan kaum masing-masing.

“Ketua Menteri turut memberi nasihat supaya semua wakil rakyat memberi sumbangan berdasarkan keperluan, dan bukannya pemohon iaitu latar latar belakang kaum, agama atau idealogi politik.

“Saya melihat sendiri beliau banyak membantu keperluan rakyat samada penyokong kerajaan atau sebaliknya semasa saya dilantik menjadi Pegawai Khas kepada Ketua Menteri, tiga tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Pesta Tahun Baru Cina 2024 Parlimen Tawau di Dewan Masyarakat Tawau, di sini semalam.

Menyentuh majlis itu, Lo menyifatkan sambutan ramai masyarakat pelbagai latar belakang adalah simbolik kepada penghargaan rakyat kepada nilai Sabah (Sabah value).

“Inilah keunikan di Sabah dan Sarawak, tidak perlu diajak untuk merayakan sambutan Tahun Baharu Cina, Hari Raya, Krismas dan sebagainya kerana kita meraikannya bersama-sama dalam suasana harmoni.

“Beginilah nilai Sabah yang sudah menjadi budaya serta amalan rakyat selama ini, kita hadir pada pesta malam ini juga adalah reaksi kita dalam menghargai nilai Sabah,”katanya.

Terdahulu, majlis itu yang diserikan dengan pelbagai persembahan tarian singa dan naga serta nyanyian, dihadiri hampir 5,000 orang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Turut hadir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy; ADUN Balung, Datuk Hamild Awang; ADUN Kukusan, Rina Jainal; ADUN Sri Tanjong, Justin Wong dan Ketua Perwakilan Konsulat Indonesia di Tawau, Heni Hamidah.

–Hamzah Sanudin

Exit mobile version