Site icon Sabah Baru News

Pembinaan semula klinik terbantut, tapak tanah belum dipohon – James

James yang merupakan Exco Kesihatan Sabah berkata, apabila tiba masanya untuk proses membina bangunan baharu ia tidak dapat dilaksanakan disebabkan isu pewartaan tanah yang berlarutan sejak puluhan tahun lalu

KOTA KINABALU: Pembinaan semula Klinik Kesihatan Kampung Tangkarason, Beluran terbantut berikutan tapak tanah belum dipohon Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, KKM perlu memohon melalui Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP).

Katanya, Klinik Kesihatan Kampung Tangkarason dan kuarters kakitangan musnah terbakar dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi baru-baru ini.

Berikutan itu, James telah melakukan lawatan ke lokasi kejadian sekali gus akan mengambil langkah membina sebuah klinik baharu konkrit untuk menggantikan klinik kayu yang terbakar di tapak yang sama.

“Namun demikian apa yang menjadi penghalang kepada kita, tanah itu belum dipohon oleh KKM iaitu belum lagi dimohon oleh PTP mengikut rekod daripada Jabatan Tanah.

“Ini merupakan satu perkara yang amat menyedihkan bayangkan klinik berusia 30 tahun lebih dibina tetapi status tanahnya belum pun dimohon oleh KKM melalui PTP di Sabah.

“Apa peranan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan di Sabah? Apakah mereka ini makan gaji buta? Apakah mereka ini hanya mengambil gaji atau tidak mahu bekerja?,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, masalah sama juga pernah berlaku apabila Klinik Kesihatan Mansiat di Sook musnah terbakar pada Jun 2022, pembinaan semula klinik itu juga terhalang disebabkan status tanah belum diwartakan walaupun permohonan telah dibuat sejak tahun 1979.

“Tetapi apabila kita bawa mesyuarat baru-baru ini bersama dengan Jabatan Tanah, barulah tanah itu dikeluarkan tawaran untuk membina Klinik Kesihatan Mansiat yang baharu di Sook,” katanya.

James turut mendedahkan sebanyak 23 projek Klinik Kesihatan di Sabah mengalami masalah status tanah sejak bertahun lama.

“Dua minggu lalu, saya telah mengadakan perbincangan dengan PTP dan Jabatan Tanah yang mana masalah status tanah 23 projek Klinik Kesihatan itu telah selesai dalam masa satu hari,” katanya.

Bagaimanapun katanya, selain masalah tanah, terdapat juga masalah-masalah seperti bekalan air, elektrik, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan juga masalah teknikal seperti dari Jabatan Kerja Raya dalam melaksanakan projek Klinik Kesihatan itu.

James turut memberi amaran kepada pengarah-pengarah dan ketua-ketua jabatan berkaitan memastikan mereka menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik.

“Saya minta kepada semua pengarah-pengarah, arahkan pegawai-pegawai mereka supaya selesaikan masalah tanah di negeri ini.

“Saya minta kepada Ketua Menteri supaya mengambil tindakan sewajarnya kepada mana-mana pengarah dan pegawai yang tidak menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dalam jabatan-jabatan mereka,” katanya.

— Yap Siong Han

Exit mobile version