Site icon Sabah Baru News

GRS cadang pengundi kemuka sekali sijil lahir ketika mengundi

PETALING JAYA: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mencadangkan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan syarat kepada pengundi untuk membawa sijil kelahiran bersama kad pengenalan ketika mengundi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.


Naib Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang juga Pengerusi GRS Penampang Kenny Chua berkata, ia bagi menghalang pengundi yang mempunyai identiti serta latar belakang diragui daripada cuba untuk membuang undi pada 19 Nov nanti.


Beliau berkata, idea itu dicadangkan Pengerusi Bersatu Penampang, John Ambrose dan disokong sepenuhnya oleh pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam suatu mesyuarat, semalam.


“Isu peningkatan jumlah pengundi di Sabah yang luar biasa dan meragukan amat merisaukan rakyat negeri ini.

“Satu cara yang kita fikir berkesan untuk menghalang individu-individu tertentu yang mempunyai latar belakang dan identiti meragukan ialah dengan menyeru pihak SPR menentukan syarat agar pengundi harus membawa dokumen sokongan seperti sijil lahir pada hari mengundi,” katanya.


Chua berkata, pengesahan dengan hanya sekadar menggunakan kad pengenalan tidak mencukupi.


Katanya, isu “Projek IC” telah mengakibatkan rakyat Sabah hilang keyakinan terhadap kad pengenalan sebagai satu-satunya dokumen yang mengesahkan seseorang itu orang Sabah yang yang tulen.


Bagaimanapun, katanya, cadangan untuk membawa sekali sijil kelahiran ketika mengundi bukanlah penyelesaian sepenuhnya dalam usaha untuk memastikan sistem pemilihan kerajaan oleh rakyat tidak dikompromi oleh mereka yang tidak sepatutnya memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.


Beliau merujuk kepada satu kes pada 2019 yang membabitkan penahanan tiga individu termasuk seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Semporna yang didakwa terlibat dalam pemberian sijil lahir dan MyKad kepada pendatang asing.


“Tetapi sekurang-kurangnya kita berusaha untuk menghalang mereka ini daripada mengundi, itu hak kita dan kita mohon SPR mempertimbangkan cadangan kami,” katanya.

EDITOR

Exit mobile version