Site icon Sabah Baru News

Bertanding dalam pilihan raya

Di Sabah dengan kehadiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menjadikan PRN17 Sabah satu penanda aras halatuju politik negeri. Pada PRN itu 1.9 juta pengundi negeri akan mengabsahkan bahawa GRS adalah platform rakyat negeri dalam perseda politik tanah air.

DEMOKRASI tidak menghalang sesiapa bertanding dalam pilihan raya asalkan tidak hilang kelayakan seperti muflis.

Berbagai penjuru adalah perkara biasa dalam setiap pilihan raya di Sabah. Daripada banyaknya parti yang bertanding, berikut adalah senarai parti-parti yang menang kerusi pada PRU14 dan PRN16.

Keputusan PRU14 – Tahun 2018, komposisi parti-parti yang menang kerusi adalah- Warisan (21), Umno (17), DAP (6), PBS (6), UPKO (5), STAR (2), PKR (2) dan PBRS (1), manakala PRN16 tahun 2020- Warisan (23), Umno (14), Gagasan Rakyat (dulu Bersatu) (11), PBS (7), STAR (6), DAP (6), Bebas (3), PKR (2) dan UPKO (1).

Parti yang sama juga akan bertanding selain parti-parti lain pada PRN17 Sabah tahun depan.

Sementara menanti pilihan raya itu berbagai pendekatan dilakukan masing-masing parti, ada yang mendekati rakyat menerusi turun padang/jelajah, ada yang menggunakan media sosial, ada yang menggunakan kenyataan-kenyataan akhbar agar rakyat “alert” berkaitan parti masing-masing.

Dalam usaha menarik perhatian rakyat sesebuah parti yang bermisi mendapatkan kuasa maka mengumumkan sejumlah kerusi yang ditandingi, tujuannya agar rakyat dapat mengira-ngira atau mencongak akan kedudukan parti itu selepas pilihan raya.

Oleh kerana politik itu penuh dengan kemungkinan, parti tiada rekod menang banyak kerusi pun walaupun meletakan calon yang ramai tetap juga ingin meletakan calon yang ramai, walaupun tidak memungkinkan kerana sedang bekerjasama dengan parti yang menyandang kerusi-kerusi tersebut.

Dengan menyatakan hasrat bertanding banyak kerusi dengan sendirinya mahu parti lain memberi laluan, sedangkan tindakan itu bukan asas suatu kerjasama.

Selain itu ada juga parti yang ditolak rakyat lalu bergabung dengan parti lain untuk kekal relevan, bertindak pula seperti sudu lebih daripada kuah, beria-ia sangat meletakan calon.

Di Sabah dengan kehadiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menjadikan PRN17 Sabah satu penanda aras halatuju politik negeri. Pada PRN itu 1.9 juta pengundi negeri akan mengabsahkan bahawa GRS adalah platform rakyat negeri dalam perseda politik tanah air.

Untuk merealisasikan harapan itu, para pemimpin gabungan itu perlu fokus pada gerak kerja parti dan jangan sesekali terpancing dengan retorik parti-parti umpama cacing hendak menjadi naga.

Senyapnya pemimpin GRS berkaitan kenyataan-kenyataan berbagai parti berkaitan jumlah kerusi yang ditandingi menunjukkan kematangan politik, kerana sedar tiada sesiapa yang dapat menghalang sesebuah parti meletakan calon.

Dalam pilihan raya, yang paling mustahak adalah kemenangan, bukannya terletak pada sekadar bertanding.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .

Exit mobile version