Site icon Sabah Baru News

Program Karnival OKU perlu diperkasakan

KENANGAN: Jeffrey (TENGAH) bersama Robert merakamkan gambar kenangan bersama warga OKU yang menyertai karnival itu.

KENINGAU: Karnival Orang Kurang Upaya (OKU) mampu menjadikan golongan OKU lebih aktif dari segi fizikal dan mental. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, anjuran Pertubuhan Pemulihan dalam Komuniti (PPDK) Keningau itu perlu memperbanyakkan lagi aktiviti yang menggalakkan penyertaan OKU.

“Ini kerana program yang dilaksanakan itu memberi impak positif kepada golongan OKU di seluruh bahagian yang meliputi Tambunan, Tenom, Sook, Kemabong, Nabawan dan Keningau.

“Karnival OKU telah berlangsung selama tiga hari sejak 20 Februari 2024, dengan pelbagai aktiviti sukaneka yang dipertandingkan.

“Objektif karnival ini bukan semata-mata untuk mencari kemenangan dan kejuaraan sahaja, tetapi dilihat dapat memupuk semangat kerja berpasukan selain mengeratkan hubungan silaturahim antara semua warga PPDK Bahagian Pedalaman Keningau,” katanya ketika merasmikan Penutupan Karnival OKU, di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, karnival itu juga memberi ruang kepada golongan OKU melakukan aktiviti besama-sama komuniti dan memberi kesedaran kepada masyarakat untuk lebih peka terhadap kebajikan OKU.

Menurutnya, seramai 168 peserta yang terdiri daripada 14 orang Pelatih PPDK, 33 orang ibu bapa, 48 Ahli Jawatankuasa dan 46 orang tenaga pengajar yang terlibat dalam karnival kali ini.

Katanya, dengan adanya program seumpama itu, ia memberi kesedaran bahawa terdapat pusat yang memberi bimbingan, sokongan dan pemulihan kepada OKU, untuk berdikari dan menguruskan diri.

Jeffrey turut menyeru masyarakat supaya mendaftarkan OKU dalam kalangan mereka bagi pengumpulan bilangan OKU di sini bagi membolehkan perancangan program dan perkhidmatan berkaitan pencegahan, pendidikan pemulihan yang sesuai.

“Kita tidak mahu golongan ini tercicir, kerana mereka juga berhak untuk mendapat kesaksamaan hak dan peluang bagi penyertaan penuh dalam masyarakat,” katanya.

Hadir sama Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik serta tetamu kehormat yang lain.

— TAMAT

Exit mobile version