Site icon Sabah Baru News

Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara yang diadakan Jun ini bakal tampil kelainan

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Arifin Arif berkata, penganjuran kali ini akan bekerjasama dengan Pejabat Daerah Membakut bersama Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Kerajaan Negeri dibawah pejabat Tugas-Tugas Khas.

MEMBAKUT: Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara ke-14 yang akan diadakan pada Jun depan bakal menampilkan kelainan berbanding penganjuran sebelum ini dengan menggabungkan Festival Marhaban dan Kompang Peringkat Negeri Sabah.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Arifin Arif berkata, penganjuran kali ini akan bekerjasama dengan Pejabat Daerah Membakut bersama Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Kerajaan Negeri dibawah pejabat Tugas-Tugas Khas.

Mengulas lanjut, Arifin yang juga Exco Agama berkata, antara pengisian mahrajan kali ini adalah Sayembara termasuk Sayembara menulis puisi, seminar persuratan dan anugerah tokoh penyair dari Indonesia dan Sabah.

“Selain penganjuran Festival Marhaban dan Kompang Peringkat Negeri Sabah, penganjuran kali ini akan turut mengadakan bengkel khat dan juga pertandingan menulis kaligrafi islami peringkat Borneo.

“Untuk sastera, kita adakan seminar, bengkel penulisan, Sayembara menulis puisi dan persembahan kebudayaan yang akan diadakan di Dewan Sri Wawasan Kampung Pimping, ” katanya dalam satu sidang media dekat sini pada Jumaat.

Dalam sidang itu, Arifin mengumumkan keputusan Sayembara Menulis Puisi Berunsur Islam 2023 sempena Mahrajan Persuratan dan Kesenian Nusantara 2023 yang diadakan pada Jun hingga Oktober tahun lalu.

Program Sayembara yang diadakan kata Arifin bertujuan menyemarakkan dan melestarikan perkembangan sastera Islam, khususnya puisi Islam di Sabah selain mendapatkan lebih banyak karya sastera yang berunsur Islam dan pada masa sama mendedahkan penulis muda kepada penulisan karya sastera yang berunsur Islam.

Penganjuran Sayembara dengan tema ‘Ke Arah Penyatuan, Kesejahteraan dan Kemajuan Ummah’ telah menerima sebanyak 266 buah puisi yang dihasilkan oleh 156 orang penyair dari beberapa negara ASEAN dengan penyertaan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 156 puisi dihasilkan penyair dari Malaysia; 94 puisi oleh penyair dari Indonesia, tujuh puisi dari Brunei Darussalam, lima puisi dari Thailand dan empat lagi dari Singapura.

“Semua puisi yang dihantar untuk Sayembara ini telah dinilai oleh tiga orang ahli panel juri yang berpengalaman iaitu Presiden BAHASA, Datuk Jasni Matlani, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Prof. Datuk Dr. Ts. Ramzah Dambul dan DBP, Ainna Abd Hamid,” katanya.

Johan Sayembara terbabit dirangkul oleh Shapial Muhd Ramly yang berasal Johor melalui karya bertajuk ‘Imam dan Makmum’, naib johan Mohd Istajib Mokhtar dari Selangor dengan karja bertajuk ‘Nun Ya Lam’ dan tempat ketiga oleh Intan Rosina dari Sabah dengan judul puisi, ‘Roh Ukhuwah’.

Manakala lima hadiah saguhati Sayembara dimenangi Zup Dompas Usman (Indonesia) ‘Air Berpikir’, Abang Median Abang Said (Sarawak) ‘Menyimpul Cahaya’, Badariah Arbin (Sabah) ‘Tanah Ini Warisan Kita’, Muhd. Ghazali Mohd Ros (Melaka) ‘Pada Malam Cahaya Itu Datang Kepada Kita’ dan Norhayati Tasif (Sabah) ‘Seurat Benang Yang Menjahit Luka Bangsa’.

Kenneddy Corlleus

Exit mobile version