TIADA respon semolek-moleknya daripada Ketua Menteri Sabah, apabila Presiden Umno Datuk Ahmad Zahid Hamidi menjanjikan, jika BN menjadi parti DOMINAN sempena PRU-15 ini dan menubuhkan kerajaan Persekutuan, maka akan melantik tiga Timbalan Perdana Menteri, masing-masing untuk Wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak, adalah SABAH AKAN MENCADANGKAN PEMIMPIN BERKELAYAKAN UNTUK JAWATAN TERSEBUT.
Penulis sangat biasa mendengar jawapan-jawapan jauhari juga mengenal manikam, kerana asas itu, respon Datuk Seri Hajiji berkaitan jawatan TPM, membawa pengertian tersirat, bahawa hampir 60 tahun Sabah sebagai rakan kongsi Persekutuan Malaysia, hanya pada PRU-15 ini timbul perlantikan jawatan tersebut bagi Wilayah Sabah.
Walaupun ada respon terbuka daripada Presiden PBS- Datuk Maximus Ongkili, bahawa jawatan tersebut sudah lama tertangguh bagi Sabah dan Sarawak. Respon secara langsung tersebut hanya berkaitan kedudukan jawatan, bukan respon berkaitan peranan dan fungsi jawatan tersebut.
Fikiran penulis mula menerawang jauh, rupanya, selama 60 tahun pembangunan dan kemajuan Sabah dan Sarawak tidak sehebat berbanding Semenanjung, hanya kerana TPM semuanya daripada Wilayah itu.
Sesuai dengan respon Ketua Menteri Sabah tersebut, TPM yang nantinya akan mengangkat sumpah jawatan, maka bermula lah kemajuan dan pembangunan negeri seperti mana dirintis lebih 60 tahun lalu di Semenanjung.
60 tahun kemudian, apa yang ada di Semenanjung pada hari ini, akan terwujud di negeri Bawah Bayu ini. Apa yang pasti, cucu penulis bakal menyaksikannya, seperti juga penulis menyaksikan perjalanan 6o tahun bersama Persekutun Malaysia, kerena datuk dan nenek penulis sudah kembali ke Pencipta sebelum dapat melihat apa yang telah berlaku dalam tempoh lebih setengah abad.
Kadangkala, kita lupa, jawatan bukan segala-galanya, kerana yang menentukan maju dan bangunnya sesebuah wilayah terletak pada perancangan, yang diikuti meletakkan hak pada yang berhak. Oleh kerana selama 60 tahun, ada pihak yang tidak meletakkan hak kepada yang berhak, maka penyebab pada kepincangan. Kerana kepincangan tersebut lah,maka timbul cadangan/janji? Perlantikan TPM.