Site icon Sabah Baru News

Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan akan perkenal Anugerah Meranti

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri KKTP Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata ketika melancarkan Program Festival I-GREEN (Inisiatif Hijau KKTP, Aspirasi Sabah Maju Jaya): Ke Arah Kod Hijau Sabah, anjuran KKTP untuk tahun kedua, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, Selasa.

KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) negeri akan memperkenalkan Anugerah Meranti pada September tahun ini, bagi menghargai dan memberi pengiktirafan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berjaya meningkatkan pembangunan dan pengurusan lestari kawasan terbuka, hijau dan landskap mereka.

Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan kawasan-kawasan ini dirancang, dibina dan diurus secara menyeluruh.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri KKTP Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, ini bagi memenuhi fungsi pembangunan yang memberi impak positif kepada masyarakat, persekitaran bandar dan biodiversiti bandar di negeri ini.

Menurutnya, kriteria penganugerahan ialah inisiatif PBT dalam membangunkan dan menaik taraf taman awam ke arah perancangan lestari, program kesedaran masyarakat ke arah persekitaran lestari, merancang inisiatif pengiktirafan untuk PBT dan merancang program penglibatan PBT yang menyokong hala tuju KKTP.

“Ini akan terus memperkasakan inisiatif Hijau Negeri yang dilaksanakan oleh Kementerian saya,” katanya.

“Inisiatif ini selaras dengan Dasar Landskap Negeri yang menggariskan hala tuju untuk memastikan pembangunan landskap negeri yang berkualiti dan teratur, dengan seni bina tersendiri dan persekitaran terpelihara, serta mengutamakan pembangunan landskap berfungsi dan hijau,” katanya ketika melancarkan Program Festival I-GREEN (Inisiatif Hijau KKTP, Aspirasi Sabah Maju Jaya): Ke Arah Kod Hijau Sabah, anjuran KKTP untuk tahun kedua, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, Selasa.

Festival itu merupakan platform yang melibatkan semua agensi di bawah Kerajaan Negeri dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk bersama-sama memberikan tindakan kolektif bagi mengekalkan kelestarian landskap alam sekitar di Sabah.

Joachim berkata KKTP sentiasa komited dalam memperkasakan penyampaian perkhidmatan dan prestasi PBT serta agensi di bawah Kementerian.

Beliau berkata Program Festival I-GREEN merupakan platform dan pemangkin kepada inisiatif Hijau di seluruh negeri.

“Program ini telah disusuli dengan pelan tindakan KKTP ke arah Inisiatif Hijau dengan menganjurkan lima siri Bengkel I-GREEN Resolution melibatkan PBT di seluruh Sabah.Pada tahun ini, KKTP akan menganjurkan beberapa Siri Jelajah I-GREEN yang akan diadakan di Ranau dan Semporna.

“Kementerian saya sebagai agensi peneraju usaha penghijauan dan kelestarian alam sekitar telah menyediakan platform atas ke bawah seperti hari ini, supaya kita dapat berkumpul bersama akar umbi untuk mengenal pasti isu dan kaedah untuk mengatasinya secara mampan,” katanya.

Joachim berkata Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) merupakan agenda Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak awal 2015 yang merangkumi 17 matlamat untuk mencapai resolusi “Mengubah Dunia Kita: Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan”, yang merupakan resolusi bersama antara kerajaan 193 negara.

“Kita sedang menghadapi krisis alam sekitar global dan kadar perubahan yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Setiap hari kita sentiasa berjaga-jaga dalam menghadapi kemungkinan ancaman bencana alam atau situasi yang ditakrifkan sebagai ‘Kod Merah’.

“Orang ramai juga semakin sedar tentang perubahan iklim dan pemanasan global. Menurut Jabatan Meteorologi, Kementerian Alam Sekitar dan Air (MET Malaysia), perubahan iklim ditakrifkan sebagai, antara lain, disebabkan oleh aktiviti manusia secara langsung atau tidak langsung yang mengubah komposisi atmosfera global (peningkatan karbon dioksida yang berlebihan mengakibatkan pemanasan dan kehilangan ozon).

“Sehubungan itu, usaha menangani perubahan iklim perlu dilaksanakan secara bersepadu dan seimbang. Tanggungjawab perlu dipikul oleh semua pihak untuk memastikan kelestarian generasi semasa dan akan datang. 

“Kami percaya kunci penyelesaian krisis iklim terletak pada mengurangkan pelepasan dan mengubah masyarakat untuk mengekalkan kelestarian alam sekitar,” kata Joachim.

— Larry Ralon

Exit mobile version