Site icon Sabah Baru News

Kami tidak sanggup ketinggalan lagi

Sabah mungkin ditakdirkan akan melangkah lebih maju ke hadapan apabila Indonesia membangun ibu negara baharu negara itu, NUSANTARA yang terletak di Pulau Borneo berkongsi tanah dengan Sabah. (Sekadar gambar hiasan)

APABILA Ketua Menteri Sabah berkata, Sabah tidak sanggup ketinggalan lagi, ianya merujuk perbezaan kemajuan dan pembangunan antara Sabah dan Semenanjung.

Tiada siapa yang dapat menafikan dalam tempoh 60 tahun terbentuknya Persekutuan Malaysia, Sabah termasuk rakyatnya jauh ketinggalan berbanding rakyat yang mendiami Semenanjung.

Atas sebab perbezaan itu, Ketua Menteri Sabah bersama-sama para pemimpin yang sekepala dan sehaluan telah merumuskan, tiada cara lain agar Sabah dapat mengejar ketinggalan, melainkan menggariskan satu hala tuju yang jelas dan strategik, iaitu SABAH MAJU JAYA.

Berbagai teras atau keutamaan didokumentasikan dan disenaraikan menerusi hala tuju itu sesuai dengan kelebihan komparatif negeri, semada melibatkan tanah/darat, sungai/lautan, alam sekitar dan sumber semula jadi.

Pun demikian semua perancangan itu dapat direalisasikan jika mendapat sokongan semua pihak khususnya Persekutuan samadanya daripada Kerajaan Pusat akan tetapi juga agensi-agensi Persekutuan, terutama berkaitan pendanaan.

Untuk merealisasikan hala tuju negeri, obligasi Persekutuan terhadap Sabah sesuai dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dilangsaikan sepenuhnya kerana ianya sebahagian pemudahcara.

Kerajaan Persekutuan mempunyai tanggungjawab menyediakan lapangan permainan yang sama antara Sabah dan Semenanjung, agar peluang sama rata terwujud untuk semua rakyat.

Di Sabah agak unik sedkit berbanding Semenanjung berkaitan komposisi rakyat, kerana di Sabah hampir 90 peratus adalah bumiputera, dan mereka itu mendiami kawasan luar bandar malah non jauh di pendalaman.

Dengan kedudukan sebahagian besar penduduk/rakyat Sabah mendiami kawasan yang kurang produktif daripada segi ekonomi, maka tiada cara lain, melainkan memajukan kemudahan perhubungan, membangun pusat-pusat aktiviti ekonomi di kawasan-kawasan tersebut.

Sabah mungkin ditakdirkan akan melangkah lebih maju ke hadapan apabila Indonesia membangun ibu negara baharu negara itu, NUSANTARA yang terletak di Pulau Borneo berkongsi tanah dengan Sabah.

Menerusi perpindahan itu, bukan sahaja memberi keuntungan kepada Sabah akan tetapi negara secara umumnya.

Untuk itu, Malaysia perlu dengan cepat mengambil peluang masa hadapan itu dengan menyediakan penarik khususnya jaringan perhubungan antara sempadan dan mengwujudkan pemudahcara aktviti ekonomi.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .

Exit mobile version