ANWAR Ibrahim adalah makhluk yang dikira beruntung bermain politik. Dia sentiasa ‘untung’ kerana di mana dia berada, kepercayaan orang terhadapnya cukup tinggi.
Dia sebagai Presiden ABIM, menjadikan ABIM begitu tersohor dan menyebabkan Umno memberi “laluan emas” kepadanya menyertai parti itu.
Bukan sedikit yang terpinggir dek “keterujaan” pemimpin Umno waktu itu menerima kedatangan Anwar dalam Umno.
PAS cukup berkecil hati dengan Anwar kerana, selama beliau berada dalam ABIM, PAS membayangkan, Anwarlah bakal pemimpin PAS suatu ketika nanti, untuk berdepan dengan Umno.
Bila Anwar dipecat dari Umno, PAS mendekati semula Anwar tetapi Anwar memilih untuk menubuhkan parti baru, KeADILan.
Perjuangan membebaskan Anwar ditukar kepada reformasi, menggegar politik Malaysia dalam tahun 1998 dan 1999, hingga Umno membayangkan, sokongan anak muda tergadap Anwar akan menyebabkan hayat parti Melayu terbesar itu semakin pendek.
Kelebihan Anwar, orang bukan Melayu mudah percaya kepadanya. Dia suka berjanji dan kemudian, dia akan melarikan diri.
Dari Pematang Pauh, dia tinggalkan kawasan lamanya untuk di ke Port Dickson. MP yang baru menang pilihan raya diberi tekanan melepaskan jawatan, untuk dia bertanding.
Kononnya, kalau dia menang, dia akan jadi Perdana Menteri. Orang Umno yang memusuhi PKR pun percaya.
Itu sebab, Umno di bawah pimpinan anak murid Anwar, bersetuju tidak meletakkan calon (walaupun kawasan ini untuk MIC), kerana yakin Anwar akan jadi PM, kalau menang kerusi PD.
Ramai usahawan yang bengkrap datang mendekati Anwar Ibrahim ketika berkempen, kerana mereka mahukan Anwar membantu mereka apabila menjadi PM nanti.
Tidak pernah saya tengok, calon PKR (Pakatan Harapan) bertanding, Ketua-ketua Umno Bahagian berada di Masjid-masjid kawasan PD, untuk berjumpa dan menunjuk muka kepada Anwar, ketika tempoh berkempen berlangsung.
Waktu itu, ketua-ketua bahagian Umno ini membayangkan Umno memang tidak akan bangkit lagi dan kemungkinan mereka semua “ikut Anwar” dalam PKR, amat besar.
Ketika Anwar bertanding ini, Bersatu masih berada di dalam PH.
Saya membantu calon Bebas, Tan Sri Mohamad Isa Abd Samad berkempen di beberapa tempat, kerana ketika ini, saya masih ahli Umno dan belum menyertai Bersatu.
Saya sendiri melihat bagaimana takutnya orang Umno untuk mendekati TS Isa, walaupun TS Isa baru sahaja isytihar keluar Umno untuk bertanding Bebas.
Sebelum itu, TS Isa adalah Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang (Port Dickson).
Tetapi, ketua-ketua bahagian Umno dari seluruh Malaysia, khususnya dari Selangor, Melaka dan Johor cukup ramai mengekori pergerakan kempen Anwar.
Esok lusa, Anwar sudah bertanding di Tambun. Orang Tambun pula akan menerima kesan seperti orang Pematang Pauh dan PD, kalau mereka percaya Anwar dan janji yang ditaburkan.
Tetapi, biasanya, kalau Anwar yang berjanji, 10 janjinya, 11 yang orang ramai akan percaya.
Malahan, ada yang percaya 12 hingga 15 janji, walaupun yang Anwar hamburkan cuma 10.
Inilah ‘keuntungan’ Anwar berpolitik. Dia tidak berani bertanding di Pulau Pinang.
Pulau Pinang ada empat kerusi Melayu, iaitu Pematang Pauh, Tasik Gelugor, Balik Pulau dan Kepala Batas. (Dalam PRU 14, kerusi Parlimen Nibong Tebal, dimenangi Datuk Dr Mansor Osman atas tiket PH.)
Kalau orang Umno Johor, mereka berani alih-alih kerusi, dari Tenggara ke Kota Tinggi. Dari Ledang ke Iskandar Puteri (Gelang Patah), dari Pasir Gudang ke Johor Bahru, dari Pontian ke Simpang Renggam, tetapi kita tak dapat lihat lagi, orang Umno, dari Johor, bertanding di Kangar atau dari Ketereh bertanding di Besut, Terengganu.