Site icon Sabah Baru News

Kutipan Hasil Tinggi, Apa Manfaat Kepada Rakyat Sabah?

Azrul berkata Kerajaan negeri pimpinan GRS terbukti telah melaksanakan amanah dengan baik.

Antara kejayaan paling signifikan kerajaan negeri pimpinan GRS sejak 3 tahun memerintah Sabah ialah peningkatan hasil kerajaan negeri tiga tahun berturut-turut iaitu RM5.449 bilion pada 2021, RM6.960 bilion pada tahun 2022 dan RM6.973 pada 2023 sekali gus menjadikannya rekod tertinggi dalam sejarah.

Persoalannya, apa manfaat yang rakyat Sabah perolehi melalui kutipan hasil yang besar ini? Persoalan ini amat relevan dilontarkan dan dibincangkan. Mari kita menelusuri, apa yang kerajaan GRS lakukan dalam tempoh hanya 3 tahun 6 bulan memerintah negeri Sabah terutamanya dalam soal pengagihan bantuan dan sumbangan langsung untuk rakyat.

Pendidikan

Kerajaan negeri telah memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu selain memperkasa program sedia ada untuk membantu para pelajar dan warga pendidik secara keseluruhannya. Antaranya pelaksanaan Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) yang menyasarkan para pelajar dalam kalangan keluarga B40 yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPT. Melalui insiatif BUDI, anak-anak kita yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana pertama akan menerima RM2,000 manakala peringkat diploma, asasi dan matrikulasi akan menerima sebanyak RM1,500 secara one-off. Sejak diperkenalkan, lebih 7,000 pelajar memperolehi bantuan ini.

Selain itu, inisiatif kepada pelajar sekolah juga diperkenalkan melalui Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) yang memanfaatkan para pelajar Tingkatan 5 dan 6 yang akan menduduki peperiksaan SPM, STPM dan STAM dengan sumbangan sebanyak RM200 seorang. Purata 30 ribu lebih pelajar menikmati bantuan ini setiap tahun.

Kerajaan negeri turut memperkenalkan Bantuan Aktiviti PIBG Sekolah (BAGUS) yang mana melalui program ini semua PIBG sekolah di Sabah akan memperolehi dana sebanyak RM2,000 untuk melaksanakan aktiviti masing-masing. Kerajaan negeri juga menyediakan dana kepada sekolah untuk melaksanakan pembaikan kecil-kecilan melalui inisiatif Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS) berjumlah RM50,000 kebawah. Ada banyak lagi inisiatif pendidikan yang dilaksana kerajaan negeri seperti BISBAH, AKSA, BAIK dan lain-lain yang mana semua ini memperlihatkan komitmen kerajaan Sabah untuk memperkasakan sektor pendidikan di negeri ini.

Disamping itu, kerajaan negeri telah menambah dana Biasiswa Kerajaan daripada RM50 juta kepada RM101 juta setahun bermula 2024, bagi memastikan lebih ramai anak-anak tempatan Sabah yang berkelayakan, berpeluang memperoleh biasiswa lantas meringankan bebanan mereka sepanjang dalam pengajian di IPT masing-masing. Usaha ini turut disokong dengan penubuhan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bagi memudahkan pengumpulan dana khas pendidikan yang bertujuan untuk membantu para pelajar IPT yang kurang berkemampuan.

Kebajikan

Kerajaan negeri telah menubuhkan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) pada 29 September 2021, bagi membantu menggerakkan agenda kebajikan rakyat di negeri ini. Penubuhan YKS bertujuan mewujudkan sistem sokongan kepada jentera kerajaan untuk memastikan mekanisme penyampaian bantuan kebajikan yang lebih pantas dan menyeluruh. Dalam konteks ini, YKS akan membantu usaha-usaha kerajaan negeri dalam menggerakkan agenda kebajikan, termasuk membantu golongan yang kurang bernasib baik serta yang amat memerlukan bantuan.

YKS juga berperanan untuk memperkasa kerjasama diantara Kerajaan Negeri dengan NGOs, badan-badan korporat dan swasta, yang bersedia untuk mencari dana dan menyalurkan sumbangan kebajikan kepada golongan kurang berkemampuan dan berkeperluan khas.

Selain itu, kerajaan negeri juga telah memperkenalkan inisiatif khusus buat bayi yang baru lahir dan kaum wanita yang tergolong dalam kategori e-Kasih. Melalui inisiatif Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri Sabah (BISTARI), setiap bayi yang lahir di Sabah akan menerima sumbangan berbentuk tabungan sebanyak RM100 yang dimasukkan ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) masing-masing. Kerajaan juga telah memperkenalkan Bantuan eKasih Dana Caruman I-SURI atau BAIDURI. BAIDURI merupakan bantuan dalam bentuk dana awal caruman KWSP berjumlah RM60 seorang kepada wanita dalam kategori e-Kasih. Melalui pelaksanaan BAIDURI, kerajaan negeri telah memberi peluang kepada golongan wanita yang layak untuk mendapat manfaat sebanyak RM480 seorang daripada Kerajaan Persekutuan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pembangunan Modal Insan

Kerajaan negeri turut tidak mengesampingkan pembangunan modal insan di negeri ini. Malah modal insan diletakkan sebagai antara teras terpenting dalam Hala Tuju SMJ. Pelbagai inisiatif turut diperkenalkan kerajaan. Antaranya pelaksanaan Felo SMJ, Dewan Belia Sabah, Talent Attachment Programme (TAP) dan sebagainya. Program ini bermatlamat untuk memperkasakan bakat dan keupayaan anak muda di Sabah disamping mengetengahkan kepimpinan baharu di negeri ini. Turut dilaksanakan ialah skim SYABAS bagi melahirkan lebih ramai usahawan muda Sabah yang turut akan menyumbang kepada pembangunan modal insan negeri.

Komitmen Membantu Miskin Tegar

Melalui Hala Tuju SMJ, kerajaan negeri turut berusaha membantu golongan miskin tegar menerusi pelbagai inisiatif. Antaranya ialah pembinaan Rumah Mesra SMJ yang melibatkan kesemua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri, dengan dana berjumlah RM125 juta. Setiap kawasan DUN diperuntukkan sebanyak 20 unit Rumah Mesra SMJ setiap tahun bermula 2022. Untuk rekod, kerajaan negeri Sabah mempelopori pembinaan rumah untuk golongan miskin yang dilaksanakan sendiri oleh kerajaan negeri.

Selain itu, kerajaan turut menyediakan dana sebanyak RM175 juta kepada agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri serta pelabur luar yang datang ke negeri ini untuk mengambil pekerja dalam kalangan keluarga miskin tegar. Ini merupakan satu lagi inisiatif baru yang amat strategik bagi membantu keluarga dalam golongan miskin tegar.

Pada 25 Januari 2024, DSP Hajiji telah menghadiri Majlis Penyerahan Surat Penyertaan Agensi Pemberi Bantuan Bagi Program Rintis Menoktahkan Miskin Tegar Di Sabah dan Pelantikan Pekerja Inisiatif MYSMJ Kerja. Sebanyak 27 agensi pemberi bantuan telah menerima surat penyertaan yang terdiri daripada 10 kementerian negeri, 9 agensi kerajaan negeri, 7 agensi kerajaan persekutuan dan 1 pemain industri.

Pada fasa awal, Syarikat SBH Kibing Solar Sdn. Bhd. telah memberikan komitmen untuk melantik seramai 200 ketua isi rumah atau ahli-ahli isi rumah dalam kalangan kategori e-Kasih untuk bekerja di kilang syarikat tersebut di Kota Kinabalu dan Kudat. Selain itu, pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dengan kerjasama MUIS juga komited memberikan pekerjaan kepada 12 orang miskin tegar untuk ditempatkan di agensi berkenaan. Pastinya lebih banyak pihak akan tampil untuk turut serta bagi menyokong inisiatif yang amat baik ini.

Ada banyak lagi inisiatif yang dilaksana melalui kementerian-kementerian negeri termasuk oleh agensi kerajaan negeri bagi mengoptimumkan bantuan dan sumbangan kepada rakyat Sabah. Ini belum termasuk pelaksanaan projek melibatkan penyelesaian isu air, elektrik, perumahan dan jalan di Sabah (kita akan kupas kemudian).

Insya Allah dengan adanya kestabilan, kerajaan dapat memberi fokus sepenuhnya untuk membangun negeri ini. Pasti kemaslahatan rakyat dapat dipenuhi. Kita punya peranan untuk memastikan progres pembangunan dapat dilaksanakan dengan efisen. Mudah-mudahan keperluan rakyat akan terus dipenuhi dalam tempoh-tempoh yang akan datang.

Kerajaan negeri pimpinan GRS terbukti telah melaksanakan amanah dengan baik. Dengan prestasi dan indikator ekonomi yang amat memberangsangkan, disamping sistem penyampaian yang semakin efisen, kita amat mengharapkan isu-isu berkaitan keperluan rakyat akan segera ditangani dan dipenuhi. Rakyat berhak memperolehi lebih daripada apa yang kita nikmati pada hari ini. Lantas, kerajaan GRS telah menterjemahkan harapan itu dengan tadbir urus dan komitmen bersungguh-sungguh untuk membangunkan negeri ini.

*Azrul bin Ibrahim ialah Naib Ketua Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat. Beliau juga merupakan Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR).

Exit mobile version