KOTA KINABALU: Masalah tadahan air Sungai Kiapad, Inanam yang semakin kering hingga menjejaskan air graviti yang digunakan kira-kira 100 penduduk mendapat perhatian Setiausaha Politik Ketua Menteri, baru-baru ini.
Datuk Dr Roland Chia Ming Shen menyumbangkan paip poli dan tangki air untuk mengumpul air sebagai persediaan untuk menghadapi kemarau yang berpanjangan sekarang. Bantuan ini melegakan penduduk yang terjejas di Kampung Kionsom dan Bantayan di sini.
“Penduduk di kampung ini berhadapan dengan masalah kekurangan air kerana sumber air menerusi sistem paip graviti semakin kering,” katanya pada Khamis ketika menyampaikan bantuan itu.
Bantuan diterima wakil penduduk Kampung Bantayan Inanam iaitu penjaga bekalan air graviti Kionsom, Yami Baga.
Dr Chia yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Inanam, turut melawat sumber air di sungai Kg Kiapad, Air Terjun Kionsom, Kg Kawakan, Kitobu dan Kg Bantayan.
Di Kionsom, beliau menyerahkan beberapa gulung paip poli untuk menyalurkan air daripada Air Terjun Kionsom kepada tangki saluran air ke Kg Talimakas, Korumbian, Kionsom dan Kionsom Lama.Sumbangan itu diterima oleh Yami.
“Paip poli ini akan kami pasang dalam masa terdekat. Bagi pihak penduduk, saya ucapkan terima kasih kepada Dr Chia atas keprihatinannya terhadap masalah kekurangan air di sini,” kata Yami.
Menurut Yami, kerja-kerja memasang itu nanti akan disertai oleh penduduk kampung melalui gotong royong hujung minggu ini.
Sementara itu catuan bekalan air masih diteruskan bagi penduduk kerana Sungai Kiapad, sumber air graviti Kionsom semakin kurang.
“Setakat ini belum sampai masa penduduk memerlukan bantuan hantaran air kerana mereka masih dapat mengumpul air ke dalam tangki masing masing apabila giliran bekalan air disalurkan ke kawasan mereka,” kata Yami.
Sistem bekalan air graviti di kampung-kampung di Inanam dibina puluhan tahun yang lalu iaitu sejak pemerintahan Kerajaan Berjaya lagi. Selama itu juga banyak batang paip yang bocor.
Banyak juga yang sudah diganti.