Site icon Sabah Baru News

Apa yang rakyat perlu sedari

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) didaftarkan bertujuan agar parti-parti tempatan bergabung untuk mencipta kekuatan parti politik berasaskan parti tempatan untuk mewakili rakyat dan negeri dengan pendekatan RUMAH KITA, KITALAH YANG JAGA, akan tetapi ramai pemimpin negeri masih menolaknya, malah berusaha menggagalkannya menerusi berbagai dakyah dengan menggunakan platform parti tempatan dan parti nasional.

DARIPADA 25 kawasan parlimen Sabah, berapa kawasan yang disandang parti tempatan Sabah? Sementara di Semenanjung daripada 165 kawasan parlimen berapa kawasan yang disandang parti daripada Sabah?

Sejak diwujudkan pilihan raya di negara ini, tiada satu parti daripada Sabah atau Sarawak menang kerusi di Semenanjung.

Keadaan itu lah yang perlu disedari rakyat Sabah dan Sarawak.

Jangan terbuai kerana menyokong parti nasional maka kemajuan dan pembangunan akan masuk ke Sabah atau Sarawak.

Enam puluh tahun telah berlaku ketidak seimbangan antara kerusi iaitu sejak Singapura keluar daripada Malaysia tahun 1965. Dengan ketidak seimbangan itu juga diikuti oleh ketidak seimbangan daripada segi peruntukan pembangunan.

Kesan ketidak seimbangan daripada segi peruntukan maka rakyat Sabah berhadapan dengan kedaifan jalan raya, bekalan air bersih dan bekalan elektrik.

Apabila kemudahan asas daif maka memberi kesan pada aktiviti ekonomi, kemajuan dan pembangunan, dan gilirannya menyebabkan rakyat tiada peluang memajukan diri, maka tercipta lah ramai rakyat tidak berpendapatan, malah ramai yang masuk kategori miskin.

Punca utama mengapa keadaan ini berlaku, atas sebab tidak dipatuhinya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Apabila MA63 tidak dipatuhi walaupun Sabah kaya dengan sumber semulajadi, akan tetapi hasil daripadanya tidak dirasai rakyat negeri sebaliknya di bawa keluar kononnya untuk kemajuan negara.

Mengapa MA63 tidak dipatuhi? Puncanya pada pemimpin Sabah sendiri yang tidak bersatu, berpecah kerana tiada kemampuan mengelak daripada pecah dan perintah, sehinggakan masing-masing bagaikan enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.

Selepas kerajaan era Tun Mustapha Datu Harun ditumbangkan, maka setiap pemimpin Sabah yang muncul bertindak menjaga kedudukan sendiri, sehinggakan perbalahan sesama sendiri berlarutan sehingga kini.

Pada tahun 2022 apabila Gabungan Rakyat Sabah (GRS) didaftarkan bertujuan agar parti-parti tempatan bergabung untuk mencipta kekuatan parti politik berasaskan parti tempatan untuk mewakili rakyat dan negeri dengan pendekatan RUMAH KITA, KITALAH YANG JAGA, akan tetapi ramai pemimpin negeri masih menolaknya, malah berusaha menggagalkannya menerusi berbagai dakyah dengan menggunakan platform parti tempatan dan parti nasional.

Sangat jelas bagaimana pemimpin Sabah yang menolak GRS, walaupun kerajaan yang ditubuhkan pada September 2020 selepas PRN16 negeri telah merangka berbagai pendekatan untuk memajukan dan membangun negeri dengan memperkenalkan HALU TUJU SABAH MAJU JAYA, mereka itu bukan sahaja tidak menyokong malah memperolok hala tuju tersebut.

Apa ertinya semua ini? mentaliti sebahagian pemimpin Sabah mahukan negeri dan rakyat terus ketinggalan daripada arus kemajuan dan pembangunan.

Mengapa pemimpin Sabah tidak mengambil iktibar kejadian selama 60 tahun? Mengapa masih tidak sedar-sedar? Kerana perpecahan antara mereka, maka punca pada kelemahan, maka rakyat dan negeri lah yang menerima kesan.

Mengapa ada di antara mereka tidak sanggup membina rumah sendiri dan menjaganya, melainkan bergantung pada orang lain untuk menjaga rumah sendiri.. Fikir-Fikirkan.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .

Exit mobile version