Site icon Sabah Baru News

Pengeluaran getah asli Malaysia turun 0.2 peratus pada Januari 2024 – DOSM

Mohd Uzir berkata eksport getah asli Malaysia berjumlah 43,111 tan pada Januari 2024, menurun5.4 peratus berbanding 45,591 tan pada Disember 2023. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR:
Pengeluaran getah asli Malaysia menurun 0.2 peratus kepada 30,273 tan pada Januari 2024 daripada 30,342 tan pada Disember 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Bagi perbandingan tahun ke tahun, pengeluaran getah asli meningkat 2.8 peratus berbanding 29,451 tan pada Januari 2023, kata DOSM dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pengeluaran getah asli Malaysia pada Januari 2024 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil sebanyak 88.3 peratus berbanding sektor estet sebanyak 11.7 peratus. 

Mengenai stok, beliau berkata ia meningkat 6.5 peratus kepada 203,772 tan pada Januari 2024 berbanding 191,304 tan pada Disember 2023.

Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 92.0 peratus diikuti kilang pengguna getah (7.9 peratus) dan estet getah (0.1 peratus), katanya.

Mohd Uzir berkata eksport getah asli Malaysia berjumlah 43,111 tan pada Januari 2024, menurun5.4 peratus berbanding 45,591 tan pada Disember 2023.

“China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli, iaitu berjumlah 32.0 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Januari 2024, diikuti Emiriah Arab Bersatu (13.5 peratus), Jerman (13.0 peratus), Amerika Syarikat (7.3 peratus) dan India (6.3 peratus).

“Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom,” katanya.

Menurut Mohd Uzir produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyakRM1.02 billion pada Januari 2024, meningkat 7.3 peratus berbanding RM0.95 billion pada Disember 2023.

DOSM berkata analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkanpeningkatan 8.9 peratus kepada 585.74 sen sekilogram pada Januari 2024, manakala sekerap meningkat sebanyak 7.4 peratus kepada 583.29 sen sekilogram.

“Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula meningkat antara 5.9 peratus hingga8.8 peratus,” katanya.

Menurut Malaysia Rubber Board Digest pada Januari 2024, trend pasaran getah KualaLumpur bercampur-campur sepanjang bulan.

“Secara amnya, sentimen pasaran disokong oleh pasaran yang menggalakkan terutama bekalan getah yang terhad daripada negara pengeluar getah akibat daripada cuaca lembab,” katanya. — BERNAMA

AWANI

Exit mobile version