Site icon Sabah Baru News

Sekolah adat ketujuh, karnival dilancar di Tawau

ANTARA ketua-ketua sekolah adat Tawau yang hadir pada majlis itu

TAWAU: Masyarakat etnik Tidung di negeri ini kini mempunyai saluran untuk memulihara adatnya daripada terus dilupakan selepas sekolah adat anak negeri (SAAN) ketujuh dilancarkan di Marutai Tawau baru-baru ini dengan dihadiri lebih 2,500 orang.

Sempena pelancaran itu juga, karnival pendidikan adat budaya Borneo yang kedua turut diadakan bermula 28 Feb hingga Mac di Kampung Jagung Marutai, Tawau.

Karnival pertama diadakan di Telipok pada tahun lalu.Acara dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Adat Tidung Sabah (MATS) Dato Seri Sahran Untai yang mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Mohd Noor.

Selain masyarakat Tidung, acara disokong oleh wakil-wakil daripada 15 sekolah adat membabitkan 15 etnik seluruh Sabah.

 Dalam ucapannya Hajiji berkata, adat dan budaya adalah satu elemen yang penting menentukan kejayaan sesuatu bangsa kerana sejarah membuktikan bahawa bangsa yang bertamadun adalah bangsa yang berjaya.

“Sabah merupakan salah sebuah wilayah yang mempunyai keunikan seni dan budaya serta sejarah gemilang. Saya yakin lebih banyak khazanah yang boleh diketengah dan dipromosi sebagai produk pelancongan di Sabah,” katanya.

Mengenai karnival, Hajiji menekankan budaya bukan sahaja dapat memberikan nilai adat pendidikan tinggi kepada masyarakat tetapi menyemarakkan semangat kerjasama antara wilayah di Borneo. 

Beliau menggalakkan karnival ini terus diadakan kerana ia selari dengan hasrat kerajaan dalam usaha memulihara, memelihara dan mengembangkan adat budaya Sabah hingga dapat menyumbangkan kepada negara.

“Adat budaya adalah khazanah warisan negara yang perlu dijaga oleh segenap lapisan masyarakat,” katanya sambil menyeru semua kaum untuk memelihara perpaduan dengan menghormati adat resam kepelbagaian kaum.

Pembinaan sekolah adat di Sabah adalah inisiatif Persatuan Pengamal Adat Tradisional Sabah (Sunduan Nabalu) yang berasakan masyarakat orang asal negeri ini jauh ketinggalan daripada pelbagai aspek kerana tiada sekolah khas yang memelihara dan mendokumentasi pengetahuannya.

Presiden Sunduan Nabalu Shalmon Sanangan berkata, pembabitan acara karnival tahun ini lebih meriah berbanding tahun lalu kerana bertambahnya jumlah sekolah adat yang diwujudkan.

“Kehadiran jemputan khas dari komuniti Tidung Kabupaten Nunukan, Sebatik dan kawasan sekitarnya mencerminkan keperluan untuk pendidikan adat budaya Borneo terus dijalankan di tahun-tahun akan datang,” katanya.

Pelancaran SAAN ketujuh dan karnival kedua disambut dengan penuh adat istiadat, persembahan tarian dan nyanyian tradisi daripada komuniti Tidung.

Acara kemuncak diisi dengan bertukar-tukar pendapat semua pengetua pelbagai etnik seluruh Sabah yang berkongsi perjalanan dan perkembangan terkini Sekolah Adat masing-masing.

Tahun lalu, sekumpulan orang Tidung hadir dalam karnival pendidikan adat dengan komitmen untuk menubuhkan sekolah adatnya selepas melihat kejayaan sekolah-sekolah adat yang sudah dibina di beberapa daerah Sabah sejak lima tahun yang lalu.

Mereka mendakwa sekolah adat etnik Tidung akan dapat mendidik ramai generasi baru komuniti itu yang tidak tahu bertutur bahasa ibunda dan adat-adat leluhur mereka.

“Keadaan ini (lupa adat) sudah lama berlaku dan kami memutuskan untuk menyertai Sunduan Nabalu dengan menubuhkan SA kami sendiri di Tawau,” kata Pengarah Operasi Sekolah Adat Anak Negeri Marutai Abdul Mulok Abdullah Sani.

Isu pendatang tanpa izin (PTI) yang didakwa ‘merampas’ hak-hak kaum Tidung di Tawau seperti peluang pekerjaan dan perniagaan adalah antara sebab utama kaum itu mahu bersatu dengan masyarakat orang asal di negeri ini melalui Sekolah Adat Anak Negeri.

Mereka mendakwa kaum mereka ditindas sejak ‘orang-orang tertentu’ yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan mula membuka peluang kepada PTI dengan memberi pekerjaan dan peluang perniagaan kepada mereka.Beliau berkata, ramai orang Tidung sebagai anak negeri dinafikan peluang itu hanya kerana mereka tidak menyokong fahaman politik orang-orang tertentu berkenaan.

“Kami berpendapat dengan bergabung dengan persatuan ini ia akan memberi manfaat kepada kami dari segi kekuatan suara supaya mendapat pembelaan yang sewajarnya,” katanya di majlis pertama Karnival Adat di Telipok tahun lalu.

Pengalaman pertama beberapa ketua etnik Tidung Tawau berkumpul bersama masyarakat orang asal dalam Karnival Adat pada Mac tahun lalu membuka mata mereka betapa perlunya semua orang asal bersatu dibawah satu payung yang menjaga hak-hak dan adat mereka.

Walapun sekolah adat yang sudah ada sekarang semua berpaksi kepada adat dan kebudayaan orang asal bukan Islam, ia tidak menghalang pemimpin Tidung untuk menyertainya dengan memastikan sekolah adat itu dijalankan mengikut acuan mereka yang beragama Islam.

“Kita tidak ada masalah dengan hal-hal membabitkan agama. Sekolah adat Tidung nanti mengikut acuan kami. Ia adalah mengenai adat semata-mata dan cara hidup serta pantang larang nenek moyang kami dulu,” katanya.

Turut menyaksikan pelancaran sekolah adat ketujuh ini adalah Pensyarah UMS, Shohibul Fadhilah Dr Mohamad Ali Abdullah; Pengarah DBP Cawangan Sabah Aminah Awang Besar; Pengetua SAANS Marutai Baharun Abdullah Sani dan ramai ketua-ketua adat dan pelajar.

Jinni Juanis

Exit mobile version