TAWAU: Syarikat korporat Kim Teck Cheong Consolidated Berhad merupakan satu-satunya syarikat swasta tunggal yang melibatkan diri dalam aktiviti sepanjang Bulan Ramadan tahun ini dan bergerak dalam satu program berskala besar di seluruh negeri.
Beberapa slot program yang terdapat dalam jadual Jelajah Iftar Ramadan Al-Mubarak KTCB-UPPM Negeri Sabah itu turut menggariskan satu lagi program lain iaitu Shopping Raya Bersama Anak Yatim dan Golongan Asnaf di 10 lokasi persinggahan dalam siri jelajah ini.
Ketua Pengarah Eksekutif KTCB, Datuk Dexter Lau berkata pihaknya sudah menyusun atur jadual jelajah yang bermula pada 14 Mac lalu di Parlimen Kalabakan dimana Merotai Besar menjadi lokasi persinggahan pertama dan Parlimen Tawau sebagai lokasi kedua.
“Syarikat memperuntukkan RM1 juta bagi menjayakan Jelajah Iftar Ramadan Al-Mubarak KTCB-UPPM Negeri Sabah kali ini termasuklah RM200,000 untuk Program Shopping Raya Bersama Anak Yatim dan Golongan Asnaf di 10 lokasi persinggahan.
“Ianya satu jumlah yang sangat besar tetapi ianya saya anggap sebagai pulangan semula atau hasil keuntungan syarikat yang dikembalikan semula kepada pelanggan-pelanggan yang selama ini menyokong produk-produk keluaran syarikat,” jelas Dexter.
Menurutnya, idea sebegini tercetus pada suatu ketika dahulu di mana KTCB buat pertama kalinya menerima jemputan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) untuk menjadi penyumbang berupa ribuan buku roti berjenama Gardenia kepada beberapa buah lokasi dan masjid seluruh Sabah.
“Di sinilah bermulanya dan kami sangat terhutang budi kepada USIA Sabah kerana membuka peluang kepada kami untuk terus melaksanakan CSR sehinggalah ke saat ini,” kata beliau lagi.
Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih diatas kerjasama erat Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Negeri Datuk Awang Kadin Tang dan seluruh pegawai-pegawai UPPM yang terlibat Jelajah Iftar Ramadan Al-Mubarak KTCB-UPPM Negeri Sabah akan disambung hari ini (16 Mac) di Semporna manakala pada Ahad di Lahad Datu.
Jelajah ini melibatkan 25 lokasi mengikut jumlah kawasan Parlimen di Sabah dan akan berlangsung selama 25 hari termasuklah di kawasan Pantai Timur Sabah, Pantai Barat Utara, Pantai Barat Selatan, Pedalaman Bawah dan Zon Pedalaman Atas.
— TAMAT