KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) tidak wajar menamakan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri sekiranya gabungan itu menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 (PRU15).
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad mendakwa ini kerana kes mahkamah difailkan bekas pembantunya, Yusof Rawther terhadap beliau masih belum selesai.
Dakwaan Abdul Latiff itu merujuk pengumuman PH yang mencalonkan Anwar pada konvensyen di Perak minggu lalu dan mengaitkannya dengan saman Yusoff terhadap Anwar 14 Julai 2021, yang mendakwa presiden PKR menyerangnya secara seksual empat tahun lalu.
“Nama yang dicalonkan oleh parti-parti politik sebagai Perdana Menteri perlulah nama yang sesuai dihantar ke Istana Negara. Dalam keadaan ini, adalah terpulang kepada PH untuk bertanggungjawab dan mengkaji semula pencalonan bagi jawatan perdana menteri.
“Mereka perlu menghormati proses pilihan raya negara dengan memastikan semua calon, terutamanya calon Perdana Menteri adalah bersih dan penuh integriti.
“Sehingga Mahkamah Tinggi memberi suatu keputusan dalam kes Yusoff, Anwar tidak layak dinamakan calon Perdana Menteri,” kata Abdul Latiff dalam satu kenyataan, hari ini.
Yusof membuat tuntutan di Mahkamah Tinggi terhadap Anwar pada 14 Julai 2021 berhubung dakwaan serangan seksual yang dikatakan berlaku terhadapnya pada Oktober 2018 di kediaman pemimpin PKR itu.
Anwar, bagaimanapun menafikan dakwaan Yusoff itu dan telah memfailkan saman balas.
Mengulas lanjut, Abdul Latiff berkata, apatah lagi pada 19 Oktober lalu, Yusof menang suatu kes saman berkaitan isu ini terhadap setiausaha akhbar Anwar, apabila mahkamah memerintahkan ganti rugi RM200,000 dan kos dibayar kepada Yusoff.
“Di mana-mana negara di dunia, adalah satu kebiasaan bahawa apabila seorang pemimpin menghadapi tuduhan salah laku seksual di mahkamah, maka beliau perlu menarik diri dari sebarang pilihan raya atau jawatan kerajaan sehingga selesai kes mahkamah terbabit.
“Ini adalah untuk memastikan hanya pemimpin yang bersih dan bermoral tinggi memegang jawatan kerajaan yang penting bagi memelihara keyakinan umum dan reputasi negara,” katanya.
— Berita Bersatu