Site icon Sabah Baru News

MUTIARA GRS teruskan program amal

Isteri Ketua Menteri merangkap Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS), Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag beramah mesra bersama ahli MUTIARA GRS sempena Mesyuarat Agung Tahunan MUTIARA GRS Ke-3, di Rumah MUTIARA GRS pada Sabtu.

KOTA KINABALU: Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) diminta untuk meneruskan semua program amal dan kemasyarakatan yang telah memberi banyak manfaat kepada rakyat terutama berkaitan sosial, ekonomi dan kesihatan, pada tahun ini.

Isteri Ketua Menteri yang juga Yang Dipertua MUTIARA GRS, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag, berkata beliau berasa bangga dengan kejayaan keseluruhan program yang dilaksanakan MUTIARA GRS sepanjang lebih dua tahun ini. Beliau berkata kejayaan itu adalah berkat kerjasama padu antara semua ahli MUTIARA GRS.


“Saya percaya kita boleh melakukan yang lebih baik jika terus bersatu untuk mencapai semua yang telah kita rancangkan. Saya ingin melihat kerjasama ini dapat diteruskan bagi menepati matlamat penubuhan MUTIARA GRS yang murni.


“Seperti tahun-tahun sebelum ini, MUTIARA GRS banyak mengadakan kerjasama dengan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) yang lain bagi melaksanakan pelbagai program yang bermanfaat kepada rakyat, khususnya wanita.


“Oleh itu, saya berharap usahasama dengan organisasi atau persatuan harus dipertingkatkan bagi meluaskan lagi capaian matlamat MUTIARA GRS,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MUTIARA GRS Ketiga 2023 di Rumah MUTIARA GRS di sini, pada Sabtu.


Dalam masa sama, beliau turut menggesa semua ahli MUTIARA GRS untuk meningkatkan lagi aktiviti dan bantuan di peringkat akar umbi yang boleh memberikan manfaat kepada golongan yang memerlukannya.


“Saya percaya melalui usaha turun padang, ahli-ahli MUTIARA GRS dapat menyelami sendiri kehidupan rakyat di kampung khususnya di luar bandar dan pedalaman, termasuk mengetahui masalah yang mereka hadapi.

“Ini penting kerana Kerajaan Negeri GRS akan mengadakan pilihan raya pada tahun depan. Justeru, kita perlu merancakkan lagi aktiviti bagi melengkapkan usaha suami kita dalam membantu rakyat di kawasan masing-masing. Gunakan rangkaian penyokong kita sepenuhnya untuk membantu seramai mungkin orang yang memerlukan bantuan,” katanya.


Sementara itu, Juliah juga menggesa semua ahli-ahli MUTIARA GRS meningkatkan pengetahuan dan kemahiran terutama berkaitan teknologi maklumat.


“Sebagai wanita, Ibu atau suri rumah, ia bukan penghalang untuk kita terus menuntut ilmu, keluar dari ruang selesa untuk perkembangan minda serta manfaat kepada diri sendiri,” katanya.


–Tamat

Exit mobile version