Site icon Sabah Baru News

Rumah Mesra SMJ akan terus dilaksanakan

TANDATANGAN: Joachim menandatangani plak rumah SMJ.

RANAU: Program Rumah Mesra Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan diteruskan bagi membantu rakyat yang memerlukan di negeri ini selagi GRS memerintah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, Rumah Mesra SMJ antara usaha yang diwujudkan bagi membantu rakyat memerlukan di negeri ini. 

“Setiap DUN akan diperuntukkan 20 buah Rumah Mesra SMJ dan rumah yang sudah siap ini adalah rumah yang dibina sejak 2022 lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra SMJ di Kampung Merungin 2 di sini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Ranau Tinus Saiman, Pegawai Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Kundasang Dounis Sani, Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri Yubidi Gompoyo dan kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Kundasang. 

Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang berkata, kerajaan negeri menetapkan kontraktor yang melengah-lengahkan pembinaan Rumah Mesra SMJ akan disenaraihitamkan.

“Kerajaan tidak mahu rumah-rumah ini lewat disiapkan, terdapat kontraktor yang melengah-lengahkan pembinaan rumah, maka pihak itulah yang akan disenaraihitamkan.

“Kita akan melihat punca kelewatan pembinaan rumah sama ada kerana cuaca atau jarak lokasi jauh dan mereka (kontraktor) juga akan diberikan elaun khas,” katanya.

Joachim turut berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memilih Ranau sebagai hos kepada pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri bagi tahun 2024.

Beliau berkata, jawatankuasa pelaksana yang diketuai oleh Pegawai Daerah Ranau sebagai Pengerusi mengadakan mesyuarat setiap minggu sebagai persediaan pelancaran pesta ini.

— Vivi Olviana Najurus

Exit mobile version