Kemalangan melibatkan Toyota Vios dan Avanza mengorbankan seorang kanak-kanak di Iskandar Puteri malam Selasa. -Foto Sinar Harian
ISKANDAR PUTERI: Seorang kanak-kanak maut manakala dua parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Ismail Sultan, East Ledang, Gelang Patah dekat sini pada malam Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Nazran Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 8.44 malam.
“Seramai tujuh anggota dan sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian. Kemalangan itu melibatkan sebuah Toyota Vios dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza.
“Terdapat empat mangsa melibatkan satu keluarga berada dalam Toyota Vios manakala hanya seorang mangsa dalam Toyota Avanza iaitu pemandu lelaki,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, seorang daripada mangsa dalam Toyota Vios, S K Chiara Dakhshakanya yang berusia sembilan tahun tersepit di tempat duduk belakang.
Pihak bomba, katanya, mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas dan kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian.
Katanya, mangsa lain dalam Toyota Vios melibatkan seorang lelaki, N Rajendran, 45, yang cedera parah manakala seorang wanita, B Patricia Puvaneswary, 45, dan seorang remaja perempuan, S K Cllarissa Mathumitha David, 14, cedera ringan.
Menurutnya, pemandu Toyota Avanza, Goh Rong Hao, 22, cedera parah dan semua mangsa yang cedera diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru menggunakan ambulans untuk menerima rawatan lanjut.
“Seterusnya pihak bomba membersihkan tumpahan minyak akibat daripada kemalangan tersebut dengan menggunakan habuk kayu. Operasi tamat pada jam 10.38 malam,” ujar beliau. –Sinar Harian
— AWANI