Site icon Sabah Baru News

DUN SABAH: Jumlah kerusi 37/73 destinasi minimum setiap hari

Apabila DUN dibubar, maka menjadikan semua kerusi DUN tidak bertuan, ertinya setiap kawasan terbuka untuk dimenangi.

UNTUK maksud menubuhkan kerajaan, mana-mana parti atau gabungan parti-parti memerlukan minimum 37/73 kerusi pada PRN-17 Sabah.

Di antara parti-parti yang ingin mendapatkan jumlah kerusi yang diperlukan membentuk kerajaan negeri tentunya GRS-PH Plus yang sedang menerajui kerajaan.

Parti-Parti Kerajaan itu perlu berhadapan dengan parti-parti yang juga bertujuan mendapatkan jumlah kerusi yang sama, antara lain BN/Umno, Parti Warisan, Perikatan Nasional (PN) dan parti-parti kecil lain.

Apabila DUN dibubar, maka menjadikan semua kerusi DUN tidak bertuan, ertinya setiap kawasan terbuka untuk dimenangi.

Pada PRN-17 Sabah dianggarkan 1.9juta pengundi menentukan parti/gabungan parti yang menang minimum 37/73.

Pada PRN itu nanti, oleh kerana berbagai parti bakal bertembung, parti yang menang tidak semestinya parti yang menang undi popular, akan tetapi calon parti yang mendapat undi terbanyak antara calon-calon atau disebut menang kerana faktor sistem First Past The Post (FPTP).

Di Sabah kemenangan menerusi FPTP bukan lah sesuatu yang baharu kerana ianya telah menjadi kaedah menentukan pemenang pada pilihanraya-pilihanraya yang lalu.

Pada PRN-16 Sabah antara kerusi yang ditentukan menerusi FPTP adalah DUN Banggi, Bengkoka, Pitas, Matunggong, Tandek, Pintasan, Tempasuk, Karambunai, Darau, Petagas, Bongawan, Pantai Manis, Lumadan, Sindumin, Kundasang, Paginatan, Liawan, Kemabong, Tulid, Sook, Telupid, Labuk, Gum-Gum, Kuamut, Tungku, Kunak, Balung, Kukusan, Merotai, Sebatik, (secara keseluruhan 30/73 atau 41.10 peratus).

Kerusi yang dimenangi berasaskan undi popular adalah DUN Tanjong Kapor, Bandau, Usukan, Kedamaian, Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli, Kiulu, Inanam, Likas, Api-Api, Luyang, Tanjung Aru, Tanjung Keramat, Kapayan, Moyog, Limbahau, Kawang, Membakut, Klias, Kuala Penyu, Karanaan, Tambunan, Bingkor, Melalap, Nabawan, Sugut, Sungai Manila, Sungai Sibuga, Sekong, Karamunting, Elopura, Tanjong Papat, Lamag, Sukau, Segama, Silam, Sulabayan, Senallang, Bugaya, Apas, Sri Tanjong, Tanjung Batu (secara keseluruhan 43/73 atau 58.90 peratus).

Parti atau gabungan parti-parti yang bakal menyertai PRN-17 sudah tentu memperhalusi, mengatur berbagai strategi berpandukan pada kawasan-kawasan DUN samada dimenangi menerusi FPTP mahu pun undi popular.

Di kawasan-kawasan yang bergantung pada FPTP sebarang swing undi mempunyai kesan tinggi terhadap keputusan berbanding kawasan yang dimenangi berasaskan undi popular.

Kawasan yang dimenangi menerusi FPTP dikategorikan sebagai kawasan kelabu bagi setiap parti, ertinya “either side of the coin” boleh berlaku.

Walaupun keputusan PRN-16 boleh dijadikan asas sebagai panduan meramalkan keputusan PRN-17 akan datang, akan tetapi keputusan pada PRN akan datang tidak semestinya mempunyai kecenderungan yang sama memandangkan pengelibatan undi18 dan pengundi kali pertama. Menerusi perubahan golongan pengundi, maka akan mempengeruhi pola pengundian.

Undi18 dan kali pertama mengundi akan menjadi penentu. Pada PRN-17 diperkirakan majoriti kerusi dimenangi berasaskan jumlah undi terbanyak antara calon-calon, kecuali mungkin untuk kawasan-kawasan tertentu yang sememangnya kubu parti-parti tertentu.

Mungkin kerana berpandukan pada pola pengundian yang bakal berlaku pada PRN-17, dua parti KDMR gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu Parti PBS dan Parti STAR memeterai MoU kolaborasi yang dinamakan BEST untuk memaksimumkan undi yang bakal dirai khususnya di kawasan-kawasan kelabu, dan memastikan kawasan-kawasan itu menyumbang kerusi untuk GRS.

Jika daripada 23 kawasan KDMR calon GRS daripada BEST menyumbang sekurang-kurangnya 15 kerusi, maka tidak terlalu sukar mencapai minimum 37/73, kerana komponen parti gabungan itu, iaitu Gagasan Rakyat akan menyumbang bakinya daripada kawasan-kawasan bumiputera islam. Untuk mencapai kuasa 2/3, rakan GRS daripada Pakatan Harapan (PH) dan rakan parti kategori “Plus” yang bertanding atas LOGO GRS, memastikan jumlah kerusi yang diperlukan. Untuk DUN Sabah, kuasa 2/3 adalah 49/73.

Berpandukkan pada senario politik semasa, dan kecenderungan rakyat Sabah, parti GRS yang menggunakan pendekatan Sabahfirst, Sabahforward, Sabahprosper, Sabahunited demi Sayangi Sabah selain mengajak rakyat bernaung di rumah sendiri, untuk sama-sama menjaganya, untuk maksud kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan bersama, membolehkan GRS menjadi pilihan pengundi Sabah.

Apabila GRS menjadi pilihan dan kemudiannya disokong PH Plus, maka selepas PRN-17, GRS-PH Plus akan menubuhkan kerajaan dengan kuasa 2/3.

**Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .

Exit mobile version